Selepas Perak Move, Hamzah Cadang Wujudkan Gagasan Perdana PN, BN, GPS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencadangkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bersatu di bawah satu gagasan perdana untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu dipercayai membangkitkan perkara berkenaan selepas Langkah Perak yang telah memberi kelebihan kepada UMNO.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, bergerak ke hadapan, persefahaman politik ini harus dikekalkan bagi menghadapi PRU-15 akan datang agar PN bukan hanya dapat terus memerintah sebagai Kerajaan pusat tetapi juga berjaya mengambil alih kerajaan negeri yang masih lagi diperintah oleh pembangkang.

“Untuk memastikan kelangsungan permuafakatan ini, saya mencadangkan satu gagasan besar diwujudkan secara rasmi bagi melambangkan kesatuan semua tiga gabungan parti besar yang bersama Kerajaan pimpinan Perikatan Nasional hari ini iaitu PN, BN dan GPS.

“Gagasan itu bakal menjulang wawasan dan aspirasi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang bergabung di bawahnya. Oleh itu, satu Piagam Persefahaman Politik antara tiga gabungan parti besar ini harus segera direalisasikan.

“Dengan termeterainya piagam ini, rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik yang kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara melalui dasar-dasar bagi memajukan ekonomi, membangunkan negara dan membela rakyat di masa hadapan,” kata Hamzah dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, sebagai sebuah gagasan yang inklusif, semua pemimpin parti yang bergabung di dalamnya harus diberikan ruang dan peluang yang sama untuk menyuarakan pendapat serta pandangan masing-masing.

“Dengan mengambil kira kehendak semua parti tidak kira besar atau kecil, tidak kira mewakili mana-mana bangsa, kaum dan agama, gagasan ini nanti mampu melahirkan satu manifesto yang benar-benar memenuhi keperluan seluruh lapisan rakyat Malaysia.

“Saya yakin sekiranya semua pemimpin benar-benar ikhlas untuk menentukan masa hadapan negara yang lebih baik, insya-Allah tanah air ini akan menjadi sebuah negara kebanggaan rakyatnya dan disegani dunia,”katanya.

Hamzah turut menjelaskan bahawa, PN lahir ketika negara menghadapi krisis politik dan perkauman yang semakin parah. Keperluan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu tercetus akibat dari ketidak-puasan hati rakyat atas beberapa dasar dan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ekoran daripada itu, beberapa perbincangan awal telah diadakan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen mewakili parti-parti politik yang berkongsi aspirasi yang sama untuk merangka strategi menyelamatkan negara dan mengambil-alih kerajaan daripada PH supaya Perdana Menteri ketika itu meneruskan kepimpinan dengan kerajaan yang baharu.

“Bagi memastikan segala perancangan ini dapat direalisasikan, beberapa ahli parlimen terpaksa berkorban dengan membuat beberapa keputusan yang penting. Ini termasuklah penyertaan ahli-ahli parlimen tertentu ke dalam parti baru untuk memastikan usaha ini dapat dijayakan.

“Oleh itu, tidak timbul persoalan sama ada mereka adalah pengkhianat ataupun duri dalam daging kepada mana-mana parti yang pernah mereka wakili kerana apa yang lebih penting adalah matlamat untuk menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baharu tercapai,” ujarnya.

Hamzah memberitahu, ketika pembentukan kerajaan PN di peringkat pusat, kedudukan kerajaan-kerajaan negeri juga diambil kira bagi memastikan wujud keseinambungan antara kepimpinan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

“Bagi tujuan tersebut, kerjasama politik tidak dijalinkan atas dasar parti yang mempunyai bilangan ADUN terbesar semata-mata, tetapi ianya juga atas dasar tolak ansur dan persetujuan bersama di antara semua parti yang terlibat.

“Dalam hal ini, pembahagian jawatan-jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar perlu diputuskan secara konsensus bagi memelihara kerjasama politik yang kukuh dan utuh. Ia juga dipengaruhi oleh keperluan dan situasi politik semasa di negeri-negeri berkenaan.

“Contohnya di negeri Perak, jawatan Menteri Besar dikekalkan menjadi milik Bersatu memandangkan jawatan tersebut telahpun dijawat oleh wakil Bersatu sebelum pembentukan kerajaan PN.

“Sementara itu di Johor, jawatan Menteri Besar telah dipersetujui untuk diserahkan kepada UMNO walaupun pada asalnya jawatan tersebut milik Bersatu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan negeri yang diketuai wakil daripada UMNO adalah sebanyak 4 buah negeri termasuklah di Melaka, Perlis dan Pahang.

“Bagi PAS pula, persetujuan telah dicapai untuk wakil PAS mengetuai kerajaan di 3 buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala PBB yang mewakili GPS dipersetujui untuk kekal menerajui kepimpinan negeri Sarawak,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat