Adun PAS Mohon Ampun Pada Sultan Perak

- Advertisement -

CYBERJAYA – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PAS Perak hari ini secara terbuka memohon ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kegagalan mereka hadir menghadap baginda pada Selasa lalu.

Bercakap pada sidang media hari ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menjelaskan, beliau bersama dua lagi Adun parti itu mengakui kekhilafan mereka kerana tidak menghadap baginda Sultan Perak seperti mana telah dititahkan.

“Kami dengan rendah hari, dengan rendah diri menzahirkan permohonan ampun kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, di atas kekhilafan tidak menghadap seperti dititahkan kepada kami bertiga pada Selasa, jam 3 petang yang lalu.

“Sehubungan dengan itu PAS Perak juga akan mengutuskan surat bagi menyatakan, menzahirkan permohonan keampunan untuk kami,” katanya.

Razman yang juga Adun Semanggol turut mengesahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah menghantar surat mohon menghadap Sultan Perak bagi tujuan yang sama.

“Ya betul, InsyaAllah,” katanya.

Pada Selasa lalu, ketiga-tiga Adun PAS Perak itu menangguhkan sesi menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh, susulan arahan kepimpinan parti di peringkat pusat supaya membatalkan pertemuan itu.

“PAS (Perak) batal menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh jam 3 petang ini, atas arahan pucuk pimpinan,” kata Razman Zakaria.

Beliau ketika itu memberi alasan PAS tidak dapat menghadap Sultan Nazrin pada hari itu kerana mereka belum ada sebarang keputusan muktamad untuk dipersembahkan kepada baginda.

“Nanti macam kita jumpa tuanku main-main pula (kalau tidak ada keputusan). Secepat mungkin jugalah kalau ada keputusan. Itu pun bergantung kepada pusat punya keputusan,” katanya.

Semalam, Sultan Nazrin memperkenankan pelantikan lima Exco negeri bagi sesi pertama majlis angkat sumpah jawatan itu, tanpa melibatkan seorang pun wakil dari PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mengesahkan beliau akan mencadangkan beberapa nama lagi termasuk wakil PAS dalam barisan Exco bagi sesi kedua majlis angkat sumpah jawatan berkenaan, namun ia bergantung kepada perkenan Sultan Perak.

“Kita akan penuhkan ia (lima lagi Exco) seperti mana sebelum ini (10 Exco), akan tiba masanya pelantikan itu akan dibuat.

“Sebagai Menteri Besar saya hanya boleh mencadangkan nama Exco, hak mutlak untuk memperkenankan cadangan dan pelantikan Exco adalah Sultan Perak dan selepas diperkenan kepada nama berkenaan barulah pelantikan akan dibuat,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat