KUALA LUMPUR – Kerjasama kerajaan, sektor swasta dan masyarakat transformasi digital diyakini dapat membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kecekapan perkhidmatan, serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Calon PKR DUN Merotai Datuk Ruji Ubi berkata, Jelajah Malaysia Digital, platform dibawah tanggungjawab Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam memperkukuh proses penerapan teknologi AI yang semakin penting bagi membentuk masa depan ekonomi, daya saing dan kesejahteraan rakyat.
“Alhamdulillah, saya berpeluang bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim , Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC dalam Majlis Jelajah Digital bertemakan Memperkasa Rakyat Malaysia Melalui Digital.
“Program ini menjadi platform penting memperkukuh agenda pendigitalan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi. Inisiatif ini memperkenalkan teknologi baharu seperti AI serta memperluas akses digital kepada seluruh rakyat, termasuk di kawasan pedalaman.
“Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada Malaysia yang lebih berdaya saing dan inklusif, khususnya di Sabah,” ujar beliau.
Sementara itu Anwar dalam kenyataan berkata, marcapada menuntut setiap negara untuk sentiasa mengikuti arus perubahan teknologi yang pesat, termasuk kemajuan dalam bidang AI yang kini semakin diterapkan dalam kehidupan seharian, daripada sistem perkhidmatan awam hingga kepada penyampaian maklumat serta urus tadbir negara.
“Justeru Malaysia tidak terkecuali dalam hal ini dan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, kita bertekad memastikan setiap lapisan masyarakat termasuk di kawasan pedalaman, tidak ketinggalan dalam mengakses teknologi terkini, sama ada dalam bidang perniagaan, pendidikan, perbankan, mahupun pembangunan sosial dan ekonomi.
“Usaha ini bukan sekadar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan zaman, tetapi untuk mendepani masa depan dengan kesiapsiagaan, agar Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi turut menjadi pencipta dan peneraju inovasi digital di rantau ini,” ujarnya.



