KUALA LUMPUR – Tan Sri Abang Johari Abang Openg sedia dihadapkan ke mahkamah jika ada mana-mana pihak yang tidak menghormati hak Sarawak sebagai pengagregat gas tunggal.
Premier Sarawak itu berkata, beliau konsisten untuk terus bertegas dalam isu itu kerana itu adalah hak Sarawak.
Justeru kata Abang Johari, beliau tegas dalam perbincangan antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengenai perkara itu.
“Saya tahu apa yang saya lakukan, kerana itu (pengagregat gas tunggal di Sarawak) adalah hak kita.
“Oleh itu, jika ada sesiapa yang tidak menghormatinya, saya berani berdepan dengan mereka di mahkamah kerana ini hak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Datuk Patinggi Ali, di Gedong, Simunjan, semalam.
Beliau yang juga Presiden PBB, turut membidas pihak yang mendakwa di media sosial bahawa Sarawak bakal meraih RM100 bilion setahun apabila menjadi pengagregat tunggal gas.
“Itu hanyalah dakwaan yang salah yang tidak lebih adalah hasutan, kerana perolehan kita tidak sampai ke angka itu.
“Tetapi kita memang akan mendapat manfaat jika Sarawak menjadi pengagregat gas tunggal,” lapor BH di Kuching.
Sebelum ini, pada 1 Julai lalu kerajaan Sarawak memutuskan PETROS akan mengambil alih peranan dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak, namun PETRONAS meminta penangguhan pelaksanaan pengambilalihan itu kerana pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.
Berikutan itu, kerajaan Sarawak memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada PETRONAS untuk memuktamadkan susunan penyeliaan pengagihan gas di Sarawak dengan PETROS dan tempoh itu berakhir Oktober lalu.
Bagaimanapun, pada 31 Oktober lalu, PETRONAS dalam kenyataan memaklumkan proses perbincangan masih diteruskan berhubung cadangan pelaksanaan PETROS sebagai pengagregat gas tunggal mengikut Ordinan Pengedaran Gas (DGO).
Komunikasi Media, Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS berkata, perbincangan yang berterusan bertujuan untuk menyelaraskan kepentingan dan objektif semua pihak.
Pada masa yang sama ia mengekalkan kesucian pengaturan kontrak sedia ada dan memastikan komitmen kepada pelabur serta pelanggan dapat terus dipenuhi.
Sarawak beroperasi di bawah dua undang-undang berkaitan pengagihan gas asli, iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1975 (PDA) dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO).