Yayasan Bank Rakyat Taja RM300,000 Program Pendidikan Di Selangor

- Advertisement -

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan tajaan sebanyak RM300,000 bagi penganjuran Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor 2021 khas buat guru dan murid seluruh negeri itu.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, program yang akan dianjurkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan akan dilaksanakan di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu dilihat sebagai satu aktiviti yang dapat membantu meningkatkan motivasi dan profesionalisme guru-guru.

Ujarnya lagi, inisiatif berkenaan juga dapat memantapkan fokus pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid dalam menghadapi peperiksaan utama akan datang.

“Saya amat berterima kasih dan menyokong inisiatif YBR dalam membantu dan memberi sokongan bagi meningkatkan kualiti pendidikan terutamanya di Negeri Selangor.

“Saya juga berharap agar lebih banyak lagi entiti-entiti korporat dan organisasi lain akan hadir bagi membantu dalam menaja program yang sebegini. Inisiatif yang diusahakan oleh YBR ini telah membuktikan bahawa syarikat-syarikat korporat turut mengambil berat dan memberi sokongan terhadap institusi pendidikan negara,” katanya.

Penyerahan replika cek penajaan itu disempurnakan Noh dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Hotel Mardhiyyah, hari ini.

Turut hadir sama, Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengarah JPN Selangor, Anismah M Noh.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkata, kesemua 10 buah PPD di Selangor masing-masing akan menerima peruntukan masing-masing sebanyak RM30,000 untuk melaksanakan program-program holistik bagi meningkatkan prestasi dan kecemerlangan murid-murid..

“Hasil daripada makluman diterima, enam program yang dirancang awal bagi setiap PPD ini diharapkan dapat meningkatkan minat dan perhatian murid dalam sesi PdP ketika dalam suasana pandemik terutama mempertingkatkan platform pembelajaran secara digital sebagai alternatif pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, melalui tajaan program yang disalurkan itu juga diharapkan dapat meringankan beban yang ditanggung oleh guru-guru dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta memantapkan lagi ilmu pedagogi melalui perkongsian amalan terbaik dan kepakaran di peringkat daerah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat