Penyokong PAS Kongsi Sentimen Kerjasama MN Dijangka Undi BN

- Advertisement -

MASJID TANAH – Penyokong PAS yang selesa dengan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dijangka memberikan undi kepada calon UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata keyakinan itu berdasarkan sentimen akar umbi dalam kalangan ahli UMNO dan PAS di Melaka yang dilihat lebih selesa dengan kerjasama antara kedua-dua parti itu menerusi MN.

Beliau berkata faktor itu akan membantu BN menumpaskan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), sekali gus menang dalam PRN Melaka.

“Dalam pemikiran akar umbi di Melaka, sama ada PAS atau BN, kita sudah bersetuju dengan MN dalam apa jua perkara sekali pun.

“Itulah sentimen pengundi (kedua-dua parti). Pengikut PAS yang totok memang akan walak (taat) dengan (arahan Presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Tetapi, yang sudah melalui hubungan antara UMNO dengan PAS sudah boleh pergi masjid dan kenduri bersama, hidup bersama tanpa prejudis, mereka akan pergi (undi) pada UMNO,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Ab Rauf yang disifatkan calon ‘heavyweight’ BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, percaya rata-rata penyokong PAS di Melaka turut berkongsi sentimen mengatakan PN sukar menang di Melaka, bersandarkan prestasi PAS dan BERSATU di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, katanya, penyokong PAS yang berkongsi sentimen berkenaan akan lebih rela memberi undi kepada UMNO yang lebih berpeluang, berbanding membiarkan PH menang dalam PRN Melaka.

“Hampir mustahil PN menang. Dua kerusi BERSATU yang dimenangi pada PRU-14 dulu bukan atas faktor parti itu, sebaliknya kerana disokong pengundi DAP.

“Undi PAS pula tidak pernah berubah sejak dulu di Melaka. Pola undi kepada PAS menunjukkan mereka hanya mampu mendapat sekitar 10 peratus daripada jumlah pengundi di setiap DUN.

“Berbanding mengundi PN yang berkemungkinan tewas, lebih baik undi diberi pada UMNO atau berdepan kemungkinan tunduk kepada PH,” katanya.

PRN Melaka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara parti politik utama negara iaitu BN, PN dan PH, di samping penyertaan dua parti kecil iaitu Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) serta calon Bebas.

Pertembungan itu menimbulkan persoalan terhadap kerjasama antara BN dan PN yang kini membentuk Kerajaan Persekutuan.

Walaupun ada kerjasama dalam MN, UMNO dan PAS bertembung di tujuh kerusi DUN pada PRN Melaka.

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menyifatkan pertembungan itu sebagai persaingan antara sahabat yang tidak akan melunturkan semangat penyatuan ummah.

Namun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula melihat tindakan PAS memilih PN di Melaka bererti MN hanya wujud pada nama dan tidak pada semangatnya, dan laungan perpaduan ummah hanyalah halwa telinga. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat