Malaysia Bukan Negara Sihat Ramai Rakyat Obes, Sakit Jantung – KJ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia dianggap sebagai negara bukan sihat memandangkan jumlah rakyatnya yang menghidapi penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, kesedaran tentang aspek kesihatan dalam kalangan rakyat juga masih berada di tahap rendah.

“Kalau tanya saya sebagai menteri, adakah Malaysia negara sihat sekarang? Tidak. Kita antara negara kadar tertinggi dari segi obesiti, sakit jantung dan antara penyebab punca kematian Covid-19 di negara ini adalah sebahagian besar daripada pesakit mengalami komobiditi atau penyakit kronik.

“Bayangkan di Malaysia seorang daripada dua rakyat terlebih berat badan atau obesiti termasuk diri saya, manakala seorang daripada empat rakyat Malaysia tidak amalkan kecergasan. Selain itu, hanya seorang daripada 20 rakyat mengamalkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul.

“Mengikut statistik rasmi juga, setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan. Saya percaya angka ini sebenarnya masih rendah daripada realitinya,” katanya memetik Bernama semasa menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 pada Khamis.

Oleh itu, dalam merealisasikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Khairy berkata, rakyat Malaysia perlu mengubah sendiri tingkah laku mereka serta meningkatkan kesedaran bagi melahirkan negara dan rakyat yang sihat secara sukarela tanpa mengharapkan kementeriannya atau kerajaan semata-mata.

Beliau berkata, aspek perubahan tingkah laku penting serta kesedaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri menjadi inti pati ANMS.

“Kalau kita nak harapkan Kementerian Kesihatan sahaja untuk pantau prosedur operasi standard (SOP) dan keluarkan kompaun, memang tak cukup tangan. Kita nak negara berjaya dari segi pengurusan pandemik ini,” katanya sambil memberi contoh Jepun berjaya mengurus pandemik menerusi tingkah laku tanpa perlu mengeluarkan kompaun.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan ANMS yang merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19.

Agenda ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030 dengan pelaksanaan dibahagikan kepada dua penggal, iaitu penggal pertama bermula pada 2021 hingga 2025 dan penggal kedua bermula pada 2026 dan berakhir pada 2030.

Sementara itu Khairy berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menghimpunkan semua kementerian terlibat bagi melaporkan langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk menzahirkan ANMS di peringkat kementerian.

Beliau berkata, selain mengambil kira faktor kesihatan diri rakyat, agenda itu juga meliputi kesihatan kualiti pengudaraan melibatkan bangunan baharu sebagai usaha mencegah Covid-19 yang boleh dijangkiti melalui udara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,609FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat