IMF, Bank Dunia Beri Amaran Risiko Kemelesetan Ekonomi Dunia Makin Meningkat

- Advertisement -

ANKARA – Ketua Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Isnin berkata, risiko kemelesetan dalam ekonomi global semakin meningkat berikutan kenaikan kadar faedah serta ekonomi yang perlahan di seluruh dunia, lapor Anadolu.

“Sejak tiga tahun ini, kita menempuh kehidupan penuh kejadian yang tidak pernah tergambar dan ia memberi akibat buruk yang amat ketara,” kata Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva, memetik wabak coronavirus, pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dan bencana iklim.

Beliau berkata, ekonomi global telah beralih daripada persekitaran inflasi dan kadar faedah rendah kepada dunia yang ‘lebih terdedah dan rapuh’.

“Kami mengira bahawa kira-kira satu pertiga daripada ekonomi dunia akan mencatat pertumbuhan negatif untuk sekurang-kurangnya dua suku berturut-turut pada tahun ini dan tahun depan,” katanya sambil menegaskan bahawa sekitar AS$4 trilion akan hilang menjelang 2026 disebabkan oleh kelembapan ekonomi global – hampir bersamaan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jerman.

“Inflasi pula sangat tinggi bagi mengetatkan kedudukan kewangan yang meningkat dengan cepat daripada jangkaan asal,” kata Georgieva pada mesyuarat tahunan Bank Dunia-IMF di Washington.

Ketua IMF itu berkata, China bergelut dengan gangguan COVID-19 dan turun naik pasaran perumahan yang turut mengheret ekonomi global manakala kadar faedah tinggi telah ‘mula terkesan’ di AS.

Presiden Bank Dunia, David Malpass, berkata dunia juga berhadapan risiko kemelesetan ekonomi tahun depan manakala ekonomi maju juga semakin perlahan.

“Penurunan nilai mata wang bermakna paras hutang bagi negara membangun semakin membebankan. Kenaikan kadar faedah mewujudkan beban tambahan. Inflasi masih menjadi masalah utama bagi semua orang terutama bagi golongan miskin,” katanya.

Bank Dunia menganggarkan pandemik COVID-19 mengheret kira-kira 70 juta orang ke kancah kemiskinan tegar pada 2020, peningkatan terbesar dalam tempoh setahun sejak pemantauan kemiskinan global bermula pada 1990 manakala dianggarkan 719 juta orang lagi hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$2.15 sehari menjelang akhir 2020, menurut laporan yang dikeluarkan Rabu lalu.

“Ekonomi maju mengambil banyak modal dunia… (menerusi) pinjaman besar oleh syarikat besar, manakala bank pusat pula hanya membeli bon negara yang sangat maju. Ini memberi tekanan kepada pembangunan dari sisi makro,” kata Malpass.

Ketua Bank Dunia itu berkata, antara isu utama ekonomi global kini adalah bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran dan pertumbuhan lebih tinggi.

“Ini patut dimulakan oleh ekonomi maju. Mereka mempunyai lebih banyak modal dan keupayaan untuk mengaplikasikannya dalam pelbagai sektor. Itu akan membantu menangani inflasi,” katanya.

Malpass berkata, jika ada ‘usaha bersepadu’ untuk memacu dasar pertumbuhan ekonomi ke hadapan, terutama yang menambah baik bahagian penawaran, maka ini akan dapat segera menangani beberapa kebimbangan mengenai jangkaan inflasi.

Ekonomi maju perlu memikirkan semula mengenai aliran modal, katanya.

“Sangat sukar untuk memikirkan persekitaran pertumbuhan dunia di mana sekumpulan kecil negara tertentu mempunyai jumlah hutang tanpa had yang boleh dikeluarkan semasa krisis kerana apabila kerajaan berbuat demikian, ia mengeluarkan modal yang ada,” katanya.

Georgieva berkata, dunia tidak mampu menangani inflasi secara bersendirian dan jika bergabung tenaga dan bertindak bersama boleh mengurangkan kesan negatif yang menanti pada 2023.

“Kesan inflasi adalah buruk, begitu juga dengan kemelesetan…Satu bidang kita boleh memilih untuk bergabung tenaga mengumpul lebih banyak modal menangani kesan iklim dalam pasaran baharu dan pasaran pesat membangun,” katanya.

Ketua IMF itu berkata, walaupun komuniti global membelanjakan kira-kira AS$30 bilion untuk penyesuaian dan mitigasi iklim, keperluan sebenarnya adalah sebanyak AS$3 hingga AS$6 trilion.

“Sekiranya pasaran baharu dan pasaran pesat membangun tidak menurunkan trajektori pelepasan mereka, ia tidak memberi kesan kepada pencapaian negara maju. Ini kerana pertumbuhan semakin berkembang di negara pesat membangun,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat