KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul memperincikan skop tugas yang digalas ahli Parlimen ketika ditanya sama ada wakil rakyat Malaysia dibayar terlalu tinggi.
“Saya tahu ramai yang tertanya-tanya: adakah ahli Parlimen dibayar terlalu tinggi? Kenapa ada elaun hadir? Kenapa ada elaun keraian? Maka, saya telah menjawab soalan-soalan ini dalam temu bual saya bersama Sharaad Kuttan dan Lee Chwee Lynn dalam program “Big Issue”, BFM 89.9.
“Di Malaysia, persoalan sama ada ahli Parlimen dibayar terlalu tinggi sering dibangkitkan. Namun bagi saya, perkara pertama yang penting adalah memahami skop tugas mereka,” katanya.
Jelas Joharu, pertama, fungsi legislatif: di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Mesyuarat, ahli Parlimen berbahas, meneliti serta menentukan undang-undang yang memberi kesan kepada setiap rakyat. Mereka juga bertanggungjawab memastikan eksekutif dipertanggungjawabkan melalui sesi soal jawab, jawatankuasa pilihan khas dan perbahasan.
“Kedua, fungsi bukan legislatif: ahli Parlimen membawa suara pengundi mereka. Ini termasuk mengurus pejabat kawasan, menghadiri program komuniti, memberi respons kepada isu setempat dan memastikan projek pembangunan dipantau. Ramai Ahli Parlimen melantik pegawai khas dan kakitangan hanya untuk mengendalikan jumlah permintaan yang tinggi daripada rakyat di kawasan masing-masing.
“Ketiga, peranan antarabangsa: ahli Parlimen Malaysia turut mewakili negara di luar negara melalui diplomasi Parlimen sama ada dalam AIPA, Persatuan Parlimen Komanwel, atau pertukaran dua hala sekali gus membina jambatan yang melengkapi dasar luar kerajaan,” hurai beliau.
Justeru kata Johari, apabila kita bertanya sama ada ahli Parlimen dibayar terlalu tinggi atau terlalu rendah, ukuran mestilah berasaskan tanggungjawab ini.
“Yang paling utama, apa sahaja sokongan dan elaun yang diterima oleh Ahli Parlimen mestilah telus, berakauntabiliti, dan benar-benar terikat kepada keperluan mereka untuk melaksanakan tugas dengan berkesan demi rakyat.
Sebelum ini dilaporkan,peruntukan ini termasuklah gaji sebagai hli Parlimen, kehadiran ke sidang Dewan Rakyat, elaun ke mesyuarat dan banyak lagi yang jika dikira boleh mencecah hampir RM40,000.
Tidak hanya itu, mereka juga ketika ini layak menikmati wang pencen jika tempoh berkhidmat mencapai 36 bulan atau tiga tahun.
Berikut adalah gaji dan senarai elaun yang mereka layak terima:
Gaji: RM16,000 sebulan
Kehadiran mesyuarat Parlimen: RM400 sehari
Kehadiran mesyuarat, bengkel & seminar agensi kerajaan: RM300 sehari
Elaun keraian: RM2,500 sebulan
Bayaran istimewa untuk MP bukan dalam pentadbiran: RM1,500 sebulan
Elaun tetap perjalanan: RM1,500 sebulan
Elaun bahan api: RM1,500 sebulan
Elaun tol: RM300 sebulan
Elaun pemandu: RM1,500 sebulan
Pembelian telefon bimbit: Hingga RM2,000 setiap dua tahun
Elaun bil telefon: RM900 sebulan
Pembelian komputer: Hingga RM6,000
Bantuan bayaran pakaian black tie : Hingga RM1,500 setiap tiga tahun
Elaun pakaian rasmi istiadat: Hingga RM1,500
Elaun pakaian sejuk
Lesen kenderaan percuma
Lawatan rasmi – Penerbangan kelas eksekutif
Lawatan rasmi – Penerbangan kereta api kelas pertama
Tugasan dalam negara melebihi 32 kilometer dari rumah: Elaun hotel sehingga RM400 semalam
Bayaran harian semasa perjalanan perniagaan: Dalam negara – RM100 semalam, Luar Negara – RM170 semalam
Elaun makan minum bertugas rasmi di luar negara: RM340 semalam
Wad kelas satu bilik perseorangan di hospital kerajaan: Percuma
Ahli Parlimen layak pencen selepas kerja 36 bulan perkhidmatan yang boleh diambil kira dan mencapai usia 50 tahun.



