KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyangka dirinya memiliki harta di United Kingdom (UK) seperti didakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Bekas Perdana Menteri itu menjangkakan tuduhan kononnya beliau memiliki aset di UK itu tidak lain tidak bukan hanyalah bertujuan melambatkan kes.
“Saya kagum membaca kenyataan Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM, bahawa ia akan siasat harta saya di United Kingdom (UK).
“Saya juga hairan. Rupa-rupanya saya ada harta di UK.
“Saya tak tahu. Tolong bagi tahu kepada saya supaya saya dapat 𝘤𝘭𝘢𝘪𝘮 harta ini. Setelah dapat harta ini saya akan hadiah kepada ramai yang miskin,” ujarnya dalam hantaran di media sosial pada Khamis.
Pun begitu kata Dr Mahathir, sebenarnya beliau fikir Datuk Seri Anwar Ibrahim suruh SPRM buat siasatan ini supaya melambatkan kes.
“Apabila saya saman dia, dia minta dua minggu untuk jawab saman saya.
“Sekarang sudah dua tahun. Masih tidak sanggup ke mahkamah. Masih hendak tangguh. Konon saya ada harta di UK.
“Siasatan akan ambil masa. Tangguh lagi,” duga beliau.
Dua hari lalu, media melaporkan, siasatan terhadap Dr Mahathir masih berjalan dengan tumpuan kini diberikan kepada aset yang dipercayai dimiliki beliau di UK.
Azam berkata pihaknya kini sedang dalam proses mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkuasa UK berhubung perkara itu.
“Siasatan melibatkan Dr Mahathir masih lagi dijalankan dan kami sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar terutama sekali pihak UK, pihak autoriti UK berhubung dengan aset-aset yang dimiliki oleh Dr Mahathir.
“Sekiranya (maklumat) dapat diperoleh, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.
Azam pada April 2024 dilaporkan berkata bekas perdana menteri itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anak beliau diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 21 Jan lepas, dilaporkan menurut pengisytiharan harta yang dikemukakan kepada SPRM, Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.



