KUALA LUMPUR – Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.
Justeru Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan.
“Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalah guna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat,” tegas Perdana Menteri.
Jelas Anwar lagi, keganasan yang disemai melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat.
“Kerajaan hormat hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini.
“Namun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang,” kata Anwar.



