KUALA LUMPUR- Seorang guru besar sebuah sekolah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyeleweng dana sebuah yayasan yang sepatutnya digunakan untuk membantu kumpulan rakyat B40 melalui program MyKasih, di Selangor.
Difahamkan, wanita berusia sekitar 50-an itu menggunakan kedudukannya sebagai guru besar untuk melakukan perbuatan berkenaan.
Menurut BH, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun 2021 membabitkan penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM16,000.
Perbuatan suspek terbongkar dan disiasat oleh sepasukan anggota SPRM Selangor susulan laporan yang diterima daripada orang awam dan pihak berkepentingan.
Dana itu adalah daripada sebuah organisasi kebajikan dan tanpa keuntungan yang ditubuhkan untuk memberi makan golongan miskin serta bantuan melalui pendidikan dan latihan.
Terdahulu, suspek dipanggil ke Pejabat SPRM Selangor untuk memberi keterangan, petang tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan siasatan dilakukan oleh pihaknya mengikut Seksyen 23 ASPRM 2009.
Katanya, guru besar wanita ditahan hari ini untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam esok,” katanya.



