KUALA LUMPUR – Keputusan Kabinet setuju melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dianggap memenuhi tuntutan utama agenda reformasi undang-undang di bawah kerajaan sekarang.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, sebagai anggota backbencher kerajaan beliau menyokong penuh dan mengalu-alukan keputusan Kabinet semalam yang bersetuju melaksanakan pengasingan sepenuhnya peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
“Saya menganggap keputusan ini memenuhi antara lain tuntutan utama agenda reformasi undang-undang di bawah kerajaan sekarang.
“Saya sebagai seorang peguam juga menyedari beberapa pindaan perlembagaan perlu dilakukan oleh Parlimen,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam hal ini Hassan yang juga ahli Parlimen PKR berharap, semua pihak sama ada di pihak kerajaan dan pembangkang di Parlimen akan menyokong usaha menjayakan reformasi institusi penting negara dengan meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan itu nanti.



