Akon bawa ‘The Superfan Tour’ ke Malaysia: Jeeharris Entertainment tempa nama di persada antarabangsa

- Advertisement -

Kuala Lumpur, 10 September – Bintang antarabangsa Akon bakal menggamatkan pentas di Malaysia dan Singapura menerusi konsert bertaraf dunia, Akon The Superfan Tour Live in Malaysia & Singapore, hasil penganjuran syarikat hiburan tempatan yang semakin mencipta nama, Jeeharris Entertainment. Dipimpin oleh penyanyi dan pelakon popular, Harris Baba, Jeeharris Entertainment kini mula melebarkan sayapnya dalam industri hiburan sebagai penganjur konsert berprestij antarabangsa.

Harris Baba yang sebelum ini dikenali menerusi kerjaya seni sebagai pelakon dan penyanyi, kini menunjukkan kemampuannya di pentas korporat apabila berjaya membawa konsert artis antarabangsa yang sangat dinantikan ramai peminat muzik global. Dengan pengalamannya yang meluas dalam penganjuran acara-acara besar di Sabah, termasuk Borneo Mega Raya Fest 2023 dan konsert artis-artis terkenal Indonesia seperti Armada Band dan Ungu, Harris kini membuktikan kepakaran dalam menjayakan acara hiburan bertaraf antarabangsa.

Konsert Akon The Superfan Tour akan berlangsung pada 19 November 2024 di Mega Star Arena Kuala Lumpur dan sehari selepas itu di Arena @ Expo Hall 7, Singapura pada 20 November 2024. Paling menarik, konsert ini menjadi lebih istimewa apabila Malaysia dan Singapura dipilih sebagai dua destinasi utama di Asia bagi tour Akon.

Menurut Harris, membawa Akon ke dua negara ini bukanlah satu tugas mudah, tetapi dengan perancangan teliti sejak Disember tahun lalu, ia akhirnya menjadi kenyataan selepas lebih tujuh bulan bekerja keras bersama pasukan penganjuran. “Ini benar-benar satu rezeki besar buat saya dan syarikat, apatah lagi membawa seorang bintang sekelas Akon ke dua negara dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika ditemui.

Akon, yang terkenal dengan rangkaian lagu-lagu popular seperti “Lonely”, “Smack That”, “I Wanna Love You”, dan “Right Now (Na Na Na)”, masih mendapat tempat di hati peminat muzik hingga kini. Penganjuran konsert ini dijangka menghidupkan semula nostalgia bagi peminat setia Akon di Malaysia dan Singapura, selain menampilkan persembahan berskala besar yang dipenuhi dengan elemen produksi berteknologi tinggi.

Dalam pada itu, Harris juga menyatakan rasa syukur atas sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk Astro Radio yang menjadi rakan media rasmi melalui stesen Era, Hits, Sinar, Mix dan Raaga, serta Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi. Tidak ketinggalan, beberapa syarikat tempatan seperti El Car Rental dan Motivated Outreach turut menaja pengangkutan dan logistik bagi acara ini, manakala Munchies akan menyediakan sajian di konsert Akon di Malaysia.

Lebih dari sekadar sebuah konsert, penganjuran Akon The Superfan Tour adalah langkah strategik bagi Jeeharris Entertainment untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam industri hiburan antarabangsa. Harris turut mendedahkan bahawa syarikatnya kini merancang untuk membawa lebih ramai artis antarabangsa ke Malaysia dan Singapura dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami sudah menghubungi beberapa nama besar dalam industri muzik antarabangsa, dan insya-Allah, lebih ramai artis terkenal akan membuat persembahan di sini sehingga 2025,” ujar Harris penuh keyakinan.

Tiket bagi konsert Akon akan mula dijual secara pra-jualan pada 18 September bagi mereka yang mendaftar awal, diikuti dengan 19 September untuk pra-jualan, dan 20 September untuk jualan umum. Peminat yang berminat untuk menyaksikan persembahan Akon di Kuala Lumpur boleh membeli tiket melalui www.ticket2u.com, manakala peminat di Singapura boleh mendapatkannya di www.sistic.com.sg.

Dengan segala persiapan yang dijalankan, konsert Akon ini dijangka akan menjadi satu pengalaman luar biasa buat peminat di kedua-dua negara, sekaligus memahat nama Jeeharris Entertainment sebagai salah satu pemain utama dalam penganjuran konsert di rantau Asia.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat