Kemiskinan tegar akan dinoktahkan tahun ini juga dengan suntikan RM1.5 bilion – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga, tanpa mengira etnik mahupun keberadaan mereka di bandar, desa, dan pedalaman.

Justeru Perdana Menteri mengumumkan, sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, demi menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya, kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga, tanpa mengira etnik mahupun keberadaan mereka di bandar, desa, dan pedalaman.

“Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana
pendapatan bagi golongan sasar.

“Kerajaan juga telah meluncurkan IPR, suatu inisiatif serampang dua mata yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan isi rumah dan penyelesaian isu struktur ekonomi.

“Sehingga 31 Ogos 2023, sebanyak 106,492 permohonan telah diterima untuk menyertai program IPR,” kata beliau di Dewan Rakyat pada Isnin.

Selain itu Anwar memberitahu, program akan diteliti oleh Amanah Ikhtiar, PEKEMAS, TEKUN dan
progam-program melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Di samping itu, pelbagai program dan inisiatif pembasmian kemiskinan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan. Antaranya, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli.

“Dalam kerangka Ekonomi Madani, pendekatan kita sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif.

“Namun untuk peruntukan khusus, kerajaan juga melaksanakan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

“Bagi etnik Cina dan India yang berpendapatan rendah, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan di Kampung Baru Cina dan sebagaimana dalam Malaysian Indian Blueprint,” ujarnya.

Bagi tujuan ini Anwar berkata, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan diperkasakan untuk menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara lebih terselaras.

“Sebagaimana yang terzahir, keutamaan Kerajaan tatkala ini adalah untuk ‘menaikkan lantai’ dengan menyediakan jaringan sosial yang ampuh buat golongan yang kurang bernasib baik, dan ‘menaikkan siling’ dengan mereformasi industri dan struktur ekonomi negara, waima berdepan dengan cabaran keterbatasan fiskal.

“Kerajaan juga akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial kepada rakyat melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang sedang dikaji untuk menambah baik kecekapan dan keberkesanan Sistem
Perlindungan Sosial.

“Sementara itu, bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.

“Semua perancangan dalam agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini hanya memusatkan kayu ukur penyertaan Bumiputera dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata,” katanya.

Tambah Anwar lagi, Ekonomi Madani melalui KSP RMK12, antaranya akan menilai semula pendekatan untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna.

“Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju
dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

“Ikhtiar bermakna bagi memperkasa Bumiputera akan beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana,” jelasnya.

Ini katanya,bagi melahirkan kelas pertengahan Bumiputera yang dapat beralih daripada bergantung harap kepada gaji semata-mata kepada membina perniagaan yang meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi.

“Syarikat Bumiputera akan terus berpeluang untuk menerima manfaat sokongan pembiayaan daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan oleh kerajaan kepada 16 agensi Bumiputera, antaranya termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Sokongan pembiayaan ini telah mencecah RM30 bilion sejak tiga Rancangan Malaysia terdahulu.

“Pada masa yang sama, pegangan nomini yang tidak didedahkan pemilikan sebenar pula terus menunjukkan corak peningkatan yang ketara.

“Sehubungan dengan itu, saya ingin memaklumkan bahawa Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berkaitan pengisytiharan pemunya manfaat sedang disemak semula bertujuan untuk memperkukuh ketelusan pemilikan saham, selaras dengan penekanan kepada tatakelola
yang baik,” katanya.

Selain itu, kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, dana wakaf akan diwujudkan menerusi kerjasama agensi berkaitan dengan Yayasan Wakaf Madani sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam.

“Bagi memastikan keberkesanan pengurusan tanah wakaf seluruh negara, Kerajaan memperkenalkan
beberapa inisiatif serta menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf yang mampu menyumbang kepada 20 peratus pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.

“Kerajaan juga akan mengenal pasti tanahtanah terbiar dan meneroka penglibatan rakyat dalam membangunkannya,” katanya.

author avatar
Nur'ain Musa
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat