PUTRAJAYA – Kes positif COVID-19 kembali cecah tiga angka iaitu 182 kes membabitkan 180 kes penularan tempatan dan satu kes import mendapat jangkitan dari luar negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, peningkatan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 9,810 kes dengan jumlah kebolehjangkitan 501.
Kes baharu yang dicatatkan itu membabitkan 90 rakyat Malaysia dan 92 warga asing dan hingga kini sembilan individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
“Bagi kes pulih, 14 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 9,181 kes bersamaan 93.59 peratus,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Pertambahan kes baharu itu sebahagian besarnya membabitkan Kluster Benteng di Sabah iaitu 167 kes baharu diikuti Kluster Sungai dan Telaga di Kedah, 14 kes.
Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian disebabkan COVID-19 di negara ini dan jumlahnya kekal 128 kes iaitu 1.30 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – BH