KUALA LUMPUR – PAS akan mengekalkan pentadbiran Menteri Besar di Terengganu dan Kedah namun bakal menukar kepimpinan di Kelantan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perubahan gabungan ‘Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sekarang’ bagi Negeri Kelantan, dengan mengemukakan ‘gabungan’ kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokat, tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan Tuanku Al-Sultan Kelantan.
“Merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 10 Ogos 2023 di Rusila, Terengganu, yang dipengerusikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, maka PAS dengan ini mencadangkan tawaran kepimpinan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran PAS dan Perikatan Nasional (PN) bagi Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Mengekalkan Menteri Besar bagi Negeri Terengganu dan Negeri Kedah, tertakluk kepada mandat rakyat dan ampuni perkenan Tuanku Sultan kedua-dua negeri.
“Perubahan gabungan ‘Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar sekarang’ bagi Negeri Kelantan, dengan mengemukakan ‘gabungan’ kepimpinan baharu iaitu seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat, tertakluk kepada mandat rakyat dan ampun perkenan Sultan Kelantan,” jelas Takiyuddin dalam kenyataan pada Jumaat.
Justeru kata beliau, PAS menyeru semua pengundi untuk menunaikan tanggungjawab pada esok, Sabtu 12 Ogos 2023, dengan memilih pemimpin yang Prihatin, Bersih dan Berkebajikan daripada PAS dan PN serta berharap proses pilihan raya di enam negeri berjalan dengan aman dan lancar.