Diplomasi berlapis Malaysia di AMM-58, tumpuan kepada keamanan, perdagangan dan nuklear

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, – Hasil beberapa sidang dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) semalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai suara moderat dan pemangkin kerjasama serantau dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Dari isu krisis Gaza ke masa depan teknologi nuklear awam, Malaysia mengambil pendekatan diplomasi berprinsip yang mengimbangi kepentingan strategik, moral dan pembangunan mampan.

Menteri Luar, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hasan, tampil sebagai jurucakap lantang bagi ASEAN dalam menyuarakan kebimbangan serantau, sambil memanfaatkan peluang untuk mengukuhkan kerjasama dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, Kanada dan Switzerland.

AS–Malaysia Perkukuh Kerjasama Strategik dalam Tenaga Nuklear Awam

Antara sorotan utama ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Amerika Syarikat mengenai kerjasama strategik dalam tenaga nuklear awam.

MoU ini, ditandatangani oleh Menteri Luar Mohamad Hasan dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio, membuka jalan kepada pembangunan kepakaran teknikal, latihan sumber manusia dan penggunaan teknologi nuklear dalam bidang pertanian, industri serta penjagaan kesihatan.

Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan Perjanjian 123 langkah penting dalam membolehkan perkongsian teknologi nuklear secara selamat dan sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Kehadiran Rubio, yang memilih Malaysia sebagai destinasi pertama dan satu-satunya dalam lawatan sulungnya ke Asia, memberi isyarat kukuh bahawa Kuala Lumpur sedang dilihat sebagai rakan strategik utama Washington di rantau ASEAN.

ASEAN -China capai kemajuan dalam Kod Tata Laku dan komitmen bebas senjata nuklear

Dalam mesyuarat pasca menteri bersama China, Malaysia menekankan pentingnya menyelesaikan pertikaian di Laut China Selatan secara berhemah.

Mohamad Hasan menyeru agar “semua pihak mengurus situasi dengan kebijaksanaan dan berwaspada” serta menyambut baik kemajuan ke arah memuktamadkan Kod Tata Laku (COC) yang efektif dan substantif.

China turut mengumumkan kesediaan untuk menjadi negara bersenjata nuklear pertama yang menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) satu langkah besar yang disambut baik oleh Malaysia sebagai manifestasi kepimpinan China dalam non-proliferasi.

Dari sudut ekonomi, ASEAN dan China terus mencatat pertumbuhan perdagangan dua hala, dengan jumlah mencecah USD770.94 bilion pada 2024 peningkatan 10.61% berbanding tahun

ASEAN–Kanada fokus kepada teknologi hijau, AI dan isu kemanusiaan

Dalam mesyuarat ASEAN–Kanada, Malaysia menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, serta menegaskan kepentingan menghormati undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Kanada (ACAFTA), yang dilihat berpotensi membuka pasaran baharu dalam sektor teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI), perdagangan digital dan tenaga bersih.

Malaysia menyambut baik tumpuan Kanada terhadap pendidikan melalui program biasiswa SEED serta potensi teknologi kuantum dan tenaga boleh baharu.

ASEAN, Malaysia dan Switzerland setuju keperluan kepada akauntabiliti global

Dalam mesyuarat trilateral bersama Switzerland dan Setiausaha Agung ASEAN, Malaysia menekankan keperluan mendesak untuk menegakkan keadilan antarabangsa, terutamanya dalam isu Gaza dan Ukraine.

“Adalah mustahak agar Israel dipertanggungjawabkan atas kekejaman berterusan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” tegas Mohamad Hasan, sambil mempersoalkan kredibiliti sistem antarabangsa yang membenarkan kezaliman tidak dihukum.

Switzerland dipuji atas peranannya dalam menyokong hak asasi manusia, kemanusiaan dan pembangunan mampan di rantau ASEAN, termasuk melalui ASEAN-Swiss TVET Initiative serta sokongan kepada ekonomi digital dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

ASEAN sebagai Pemacu Diplomasi Global

Pertemuan dan persefahaman dengan pelbagai rakan strategik dari pelbagai benua ini mencerminkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mengangkat rantau ini ke dalam peta geopolitik dunia.

Ia juga adalah sebahagian usaha memastikan semua pihak menghormati kedudukan ASEAN sabagai komuniti yang bebas dan berkecuali.

Dari kerjasama teknologi nuklear dengan AS, teknologi hijau dengan Kanada, komitmen non-proliferasi dengan China, hinggalah seruan keadilan bersama Switzerland – Malaysia memanfaatkan pentas ASEAN bukan sekadar sebagai forum, tetapi sebagai wahana memperjuangkan masa depan rantau dan dunia yang lebih adil, makmur dan seimbang.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat