Peniaga tak boleh naikkan harga barang, perkhidmatan sesuka hati sedangkan nikmati fleet card SKDS – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa peniaga tidak boleh menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati memandangkan sebilangan besar industri barangan masih menikmati harga diesel bersubsidi melalui fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memaklumkan, sehingga 3 Julai 2024, sebanyak 10,542 premis telah diperiksa dan sebanyak 243 notis bertulis telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kepada peniaga yang menyalahi Akta 723.

“Ini mengenai laporan status Ops Kesan 2.0 terhadap penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun 2024 oleh KPDN. Mesyuarat mengambil maklum pelaksanaan Ops Kesan 2.0 oleh KPDN melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] berikutan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun 2024 yang lalu.

“Saya menegaskan bahawa peniaga tidak boleh menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sesuka hati memandangkan sebilangan besar industri barangan masih menikmati harga diesel bersubsidi melalui fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” kata Zahid dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat NACCOL, pada Khamis.

Perbincangan NACCOL juga tertumpu kepada Laporan Kajian Bantuan Tunai di bawah Kluster Pendapatan oleh Khazanah Research Institute (KRI).

Kata Zahid, kajian bantuan tunai yang dilaksanakan oleh Khazanah Research Institute (KRI) mendapati terdapat beberapa cadangan penambahbaikan dasar dalam mengelola bantuan tunai di Malaysia antaranya menambah baik pemantauan, penilaian dan pelaporan tentang program.

“Sehubungan itu, Mesyuarat bersetuju agar pelaksanaan Pusat Sehenti (One-Stop Centre) diwujudkan untuk penyaluran maklumat dan pendaftaran dapat menambah baik akses kepada program bantuan tunai dan program lain,” katanya.

Turut hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, ketua-ketua setiausaha kementerian; setiausaha-setiausaha kerajaan negeri; agensi-agensi kerajaan; wakil-wakil korporat, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil-wakil industri dan pengguna.

“Perbincangan pertama mengenai Pembangunan Industri Jagung Bijian di Malaysia di bawah Kluster Makanan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Disebabkan perkara ini berkait rapat dengan isu keterjaminan makanan negara dan mempunyai rantaian ekosistem yang
kompleks, saya telah bersetuju agar KPKM menerajui pembangunan industri jagung bijian di Malaysia berdasarkan beberapa strategi yang telah digariskan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Kerjasama ini bagi memastikan penanaman jagung bijian dapat ditanam dalam skala yang besar dan komersial. Ini perlu disegerakan bagi memastikan kebergantungan terhadap jagung mentah import dapat dikurangkan dengan signifikan,” jelas Zahid.

Justeru, kata Timbalan Perdana Menteri itu lagi, mesyuarat telah bersetuju supaya satu Jawatankuasa Peringkat
Tinggi (High Level Committee) diwujudkan dan melantik Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk mempengerusikan mesyuarat HLC Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara.

“Ini melihatkan keperluan Pembangunan Industri Jagung Bijian akan dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun bagi menjamin ekosistem industri ternakan ayam dan makanan ternakan negara.

“Diunjurkan menjelang 2030 sebanyak 1.25 juta metrik tan dengan keluasan 136, 527 hektar tanah akan
dibangunkan dalam skala yang besar (ladang).

“Saya juga menyarankan dalam fasa Pengukuhan ketika ini (2021 – 2025), tanah penanaman perlu digandakan bagi memastikan pencapaian yang disasarkan dapat dicapai.

“Saya juga ingin menyeru agar Kerajaan Negeri dan pihak lain turut menyambut baik cadangan ini dengan melihat tanah-tanah kosong yang boleh diusahakan dalam memperluaskan Pembangunan Industri Jagung Bijian tersebut. Malah saya juga menawarkan tanah milik agensi dibawah KKDW seperti FELCRA, RISDA serta Lembaga Kemajuan Tanah untuk dibangunkan,” ujar beliau.

Perbincangan lain kata Zahid ialah mengenai senario dan isu-isu semasa industri gula di bawah kluster makanan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Mesyuarat turut meneliti senario dan isu semasa yang
dihadapi industri gula tempatan.

“Sehingga ke hari ini, harga jualan runcit gula putih bertapis di Malaysia masih kekal terendah di kalangan negara ASEAN. Cabaran jangka pendek dan sederhana perlu ditangani segera.

“Justeru, setelah meneliti dan mendengar semua pandangan ahli mesyuarat, Mesyuarat bersetuju agar perkara ini
diangkat segera ke perhatian Jemaah Menteri dan diputuskan dalam masa terdekat.

“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk mewajibkan pembekalan gula putih bertapis dan sentiasa tersedia dalam gudang dengan kapasiti 1000 metrik dan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dan 1000 metrik tan di Sarawak,” katanya.

Selain itu NACCOL turut membincangkan, potensi TVET yang besar dalam agenda kos sara hidup terutamanya dalam aspek peningkatan pendapatan, peningkatan produktiviti, pengurusan pengeluaran produk dan perkhidmatan yang lebih
efisien dan sekaligus menstabilkan harga barang dalam tempoh yang lebih lama.

“Sektor yang menjadi tumpuan TVET merupakan sektor strategik serta terkait rapat dengan agenda sara hidup negara.
“Antaranya adalah sekuriti makanan negara, industri berasaskan teknologi AI serta inovasi yang menyokong kepada
kemampanan industri utama negara seperti peralihan tenaga, pertanian, perindustrian semikonduktor dan sebagainya.

“Sehubungan itu, Mesyuarat bersetuju supaya sinergi pelaksanaan TVET oleh pelbagai pihak terutamanya melalui Majlis TVET Negara dan NACCOL dengan bekerjasama bersama-sama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Saya mengharapkan agar agenda ini dapat disebar luas ke negeri dengan lebih pantas melalui sinergi pelbagai platform seperti platform NACCOL dan Majlis TVET Negara.

“Sinergi ini perlu diterjemahkan segera di peringkat negeri dan akhirnya daerah agar ia berkembang pantas. Saya juga berharap agar kerajaan negeri melalui wakilnya pada hari ini sama ada di peringkat SUK atau UPEN dapat menyegerakan hasrat baik ini,” gesa beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat