Kuala Lumpur, 11.7.2023: Baru-baru ini dikhabarkan beberapa pemimpin berpengalaman yang telah menyertai parti-parti tertentu di dalam Perikatan Nasional akan diletakkan sebagai calon di dalam Pilihanraya Negeri dan Pilihanraya Kecil akan datang.
Yang disebut-sebut adalah Tan Sri Annuar Musa yang dikhabarkan antara pilihan “favourite” untuk diletakkan di Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Usai PRU-15 yang lepas, kita semua perlu akur bahawa dinamik politik tanah air telah berubah dengan begitu signifikan.
Ada tokoh-tokoh politik berpengalaman yang telah berhijrah dan ada pula yang ditinggalkan oleh parti politik yang telah mereka sertai berpuluh tahun lamanya.
Perubahan demi perubahan yang berlaku dalam lanskap politik ini telah mewujudkan garisan politik baharu yang secara langsung bakal memberi impak yang sangat besar di dalam pemerintahan negeri dan mungkin juga di peringkat persekutuan.
Sejujurnya saya katakan, ini adalah masanya untuk Perikatan Nasional mengambil peluang dengan meletakkan calon-calon yang berkaliber demi memenangi hati para pengundi.
Mengambil contoh Tan Sri Annuar Musa yang merupakan seorang “seasoned politician”, kebarangkalian untuk Perikatan Nasional memenangi semula kerusi Kuala Terengganu akan menjadi lebih mudah.
Walaubagaimanapun, sekiranya perkara ini berlaku, akan ada tentangan kecil, terutamanya dari sesetengah pihak yang mementingkan hierarki kepartian dan berdasarkan maslahat setempat.
Kita amat memahami sentimen lokal dan menghargai usaha dan gerak kerja yang telah mereka laksanakan terutamanya dalam mengaktifkan program-program parti di peringkat akar umbi.
Tetapi, pada ketika kita berhadapan dengan ancaman yang lebih besar iaitu survival orang Melayu/Bumiputera dan kedaulatan Islam yang semakin menipis, kita harus mengenepikan pendapat peribadi dan sewajarnya bersatu hati dalam memilih calon-calon yang boleh mewakili rakyat dengan lebih baik.
Dinamik politik pada ketika ini memerlukan keseimbangan antara muka lama dan muka baharu yang akan berupaya untuk memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat, sekaligus mampu untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara ke arah yang lebih cemerlang.
Dalam konteks PRN yang bakal berlangsung pada bulan Ogos 2023, Perikatan Nasional perlu berupaya untuk membentuk satu kepimpinan bayangan bagi mempertontonkan kepada rakyat corak pemerintahan yang bakal dilaksanakan, terutamanya bagi negeri-negeri seperti Selangor Darul Ehsan dan Negeri Sembilan Darul Khusus.
Dengan adanya tokoh-tokoh politik veteran digabungkan dengan pemimpin-pemimpin muda yang mempunyai intelek yang tinggi, tidak mustahil untuk Perikatan Nasional kembali menyapu bersih semua kerusi yang bakal dipertandingkan pada PRN kali ini.
Pokoknya, sesiapa pun yang terpilih sebagai calon nanti, mereka bukan sahaja perlu memastikan diri mereka akan dipilih rakyat, tetapi berupaya melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.
Saya percaya, Perikatan Nasional akan membuat pertimbangan sebaik mungkin dalam pemilihan calon-calon bagi pilihanraya akan datang.
Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin
Timbalan Pengerusi
MUAFAKAT NASIONAL