MAKKAH, 10 Jun – Seorang jemaah wanita Malaysia, Allahyarhamah Jamaliah Masron, 68, dari Kota Tinggi, Johor, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 9 Jun di klinik kecemasan Bangunan Abraj Al Janadriyah, di sini.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.05 petang waktu tempatan, menjadikan jumlah kematian jemaah haji Malaysia bagi musim Haji 1446H/2025M kini sebanyak 11 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, memaklumkan bahawa Lembaga Tabung Haji (TH) telah menguruskan sepenuhnya proses pengurusan jenazah, termasuk mandi, solat jenazah di Masjidil Haram serta pengebumian di Makkah.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Menurut beliau, 10 daripada 11 kematian jemaah Malaysia setakat ini berpunca daripada serangan jantung, manakala seorang lagi akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ.