Tawaran tidak ikhlas, pemimpin masih belum berubah – Maulizan Bujang

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang menyifatkan kepimpinan UMNO tidak ikhlas dalam menyatakan hasrat untuk menerima kembali ahli yang dipecat atau digantung.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram itu berpendapat pemimpin UMNO hanya mahu terus mempergunakan parti untuk kepentingan diri.

Menurut Mualizan isu utama UMNO masa kini ialah kepimpinan yang ditolak rakyat dan majoriti orang Melayu ekoran keputusan yang dibuat tidak selari dengan kehendak penyokong dan pengundi.

“Kepimpinan UMNO gembira dengan terus menjadikan UMNO sebagai penumpang dalam kerajaan apabila Presiden UMNO sokong kerajaan yang terdiri daripada DAP dan PKR yang lebih dominan dalam kerajaan.

“Sebilangan besar orang Melayu juga tidak boleh menerima kehadiran DAP yang masih angkuh apabila tidak mahu memohon maaf kepada orang Melayu atas apa yang dilakukan sepanjang lebih 60 tahun terhadap orang Melayu terutamanya peristiwa 13 Mei 1969 apatah lagi perjuangan menuntut hak kesamarataan yang masih didokong hingga sekarang.

Maulizan juga tidak nampak bagaimana tawaran terbuka untuk mereka yang digantung kembali kepada parti dalam masa terdekat dapat direalisasikan.

Ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan, Maulizan berpendapat sukar untuk merayu apabila digantung dan dipecat tanpa melalui proses pengadilan.

“Saya tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Displin parti sebelum digantung. Jadi bagaimana hendak merayu jika proses penggantungan dan pemecatan dibuat tidak mengikut prosedur?.”

“Saya menjadi ahli UMNO dan aktif semenjak umur saya 17 tahun dan amat menyayangi parti UMNO yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya tidak pernah khianat atau sabotaj parti malah bertungkus lumus nak memenangkan parti dalam setiap Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN),” mesej beliau kepada SuaraTV selepad diminta mengulas kenyataan Presiden UMNNO sabtu lalu.

Pada Sabtu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO terbuka dengan saranan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 untuk menerima kembali ahli yang dikenakan tindakan disiplin iaitu dipecat atau digantung daripada parti.

Untuk rekod, pada Januari lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggantung keahlian Maulizan berserta Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif selama enam tahun.

Manakala tiga orang dipecat dari UMNO iaitu bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Maulizan menyifatkan mereka digantung dan dipecat bagi tujuan menyelamatkan kedudukan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

“Pemecatan serta penggantungan adalah untuk membolehkan Ahmad Zahid menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan menggunakan PAU untuk menyokong hasrat.”

Maulizan memberitahu UMNO kini menjadi semakin lemah apabila orang Melayu mula merasakan UMNO kehilangan identiti sebagai parti yang asas perjuangannya ialah untuk membela agama, bangsa dan negara.

“Orang Melayu mulai rasakan bahawa mereka mempunyai alternatif lain dalam soal memartabatkan perjuangan bangsa dan agama.

“UMNO dibawah kepimpinan sekarang tidak lagi sama dengan UMNO yang dahulu. Keramatnya yang sering diperkatakan dahulu semakin pudar. Amat menyedihkan. Ubahlah sebelum semakin rebah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat