KUALA LUMPUR – Sejarah sentiasa mengingatkan kita bahawa kekuatan sesebuah bangsa lahir daripada kesatuan hati rakyat, kesetiaan kepada institusi Raja-Raja Melayu, serta keikhlasan untuk berkhidmat demi masa depan agama, bangsa dan negara.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, 11 Mei 1946, di Tangga Istana Besar Johor, sejarah besar bangsa Melayu telah terpahat.
“Sesungguhnya, di sinilah para pemimpin Melayu berhimpun, menyatukan tekad dan keberanian untuk mempertahankan agama, bangsa, tanah air serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Daripada semangat perjuangan itulah lahirnya Umno, sebuah wadah yang akhirnya menjadi tunjang kepada kemerdekaan negara dan pembentukan sebuah negara bangsa yang berdaulat.
“Hari ini, saya bersama saf kepimpinan Umno berpeluang untuk kembali berdiri di tempat yang sama, selepas 80 tahun Umno melalui pelbagai mehnah dan liku-liku perjuangan.
“Bukan sekadar untuk bernostalgia. Bukan sekadar untuk merakam gambar kenangan. Tetapi untuk mengenang jasa generasi terdahulu, menginsafi harga sebuah perjuangan, dan memperbaharui tekad bahawa amanah ini mesti terus dipikul dengan setia, berani dan penuh tanggungjawab.
“Setinggi-tinggi junjungan kasih dirafakkan ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas limpah perkenan mencemar duli ke sesi fotografi yang penuh bersejarah ini.
“Junjungan kasih jua buat Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas limpah perkenan dan sokongan dalam menyempurnakan detik yang amat bermakna buat seluruh keluarga besar Umno,” ucap Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau juga berharap, semoga Umno terus kekal sebagai wadah perjuangan yang menyatukan, mempertahankan maruah bangsa, menjunjung agama, memelihara kedaulatan Raja-Raja Melayu dan berkhidmat kepada tanah air tercinta.
“Dulu, kini dan selamanya. Umno akan terus menjadi Rumah Bangsa..
“Daulat Tuanku! kata Zahid.



