Tugas saya selesai meski lebih ramai musuh berbanding kawan – Azam Baki

KUALA LUMPUR – “Tugas saya sudah selesai dan saya bersedia menamatkan tugas dalam perkhidmatan awam,” demikian kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau bagaimanapun me­nga­­kui lanjutan kontrak se­ba­nyak tiga kali sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sebelum ini telah mengundang banyak kritikan pelbagai pihak.

Jelasnya, sepanjang tempoh lanjutan perkhidmatan berkenaan kedudukannya se­ring dipersoalkan parti politik, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah ada usaha tertentu untuk menghalangnya menerajui agensi antirasuah itu, memetik laporan Utusan pada Isnin.

Tegas beliau, keputusan mengenai jawatan dan kedudukannya ditentukan pihak yang wajar tanpa dipengaruhi apa-apa tekanan.

“Tiada apa perlu saya persoalkan, saya bersyukur diberi peluang tiga kali lanjutan kontrak dan menganggap ia satu rezeki dan peluang bagi memimpin satu agensi penguat kuasa.

“Saya bersyukur kepada Allah, selain menghargai kepercayaan Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong atas peluang yang diberikan,” katanya.

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhid­matan selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Tempoh perkhidmatan Azam dilanjutkan selama setahun pada 2023 dan sepatutnya tamat 12 Mei 2024 namun dilanjutkan sekali lagi. Tempoh kontrak Azam akan tamat pada 12 Mei ini.

Azam mengakui dalam ketegasan beliau menerajui SPRM, beliau memiliki lebih ramai musuh daripada kawan.

Menurutnya, ketika menyia­sat pemimpin politik beliau akan ‘diserang’ oleh penyokong parti, apabila menahan ketua jabatan pula, beliau akan ‘dibenci’ oleh sebahagian warga jabatan tersebut.

“Sebab itu ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pendekatan siasatan yang dijalankan kerana prinsip saya jelas, siapa bersalah perlu didakwa tanpa mengira kedudukan.

“Seseorang yang mahu kekal ‘selamat’ hanya perlu memilih tidak perlu buat apa-apa, ia mungkin tidak akan dikritik,” katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, siasatan SPRM terhadap tokoh politik berprofil tinggi termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilakukan dengan prosedur yang be­tul walaupun berdepan kritikan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat