PETALING JAYA – Penduduk di sekitar Pasar Jalan Othman yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan makanan mencukupi daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pengagihan makanan itu dibuat sejak semalam dan mencukupi bagi bekalan kegunaan kira-kira 2,600 penduduk di situ untuk tempoh seminggu.
“Semalam JKM sudah melaksanakan pengagihan bekalan makanan sejak pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang, jadi tidak timbul isu penduduk di sini sukar mendapatkan bantuan makanan.
“Jika penduduk menghadapi sebarang masalah, polis juga ditempatkan meronda di kawasan terbabit dan mereka boleh memaklumkan sebarang masalah dihadapi termasuk mengenai bekalan makan, kesihatan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan kerja ujian saringan Covid-19 yang masuk hari ke-2 ke atas penduduk di sekitar Pasar Jalan Othman.
Pelaksanaan ujian saringan bermula seawal pukul 9.00 pagi tadi dengan penduduk sekitar dilihat keluar rumah untuk ke pusat saringan Covid-19 bagi menjalani ujian berkenaan secara berperingkat.
Bernama difahamkan petugas kesihatan mengunjungi 429 buah rumah semalam bagi melakukan bancian serta memastikan kira-kira 2,600 penduduk termasuk warga asing hadir untuk menjalani saringan.
Polis serta tentera ditempatkan di kawasan sekitar PKPD.
Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pasar Jalan Othman menjadi kawasan terbaru PKPD berkuatkuasa mulai 10 hingga 23 Mei.
Kawasan berkenaan dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan terbabit.