KUALA LUMPUR- Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) dari Taiping ke Beruas boleh digunakan secara percuma selama dua bulan bermula tengah malam ini sehingga 11 Mei depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, laluan baru secara percuma itu bersempena Ramadan dan musim Aidilfitri bulan depan.
Beliau mengumumkan perkara itu ketika merasmikan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, WCE yang akan dibuka bermula 12.01 malam ini.
Katanya, Seksyen 11 melengkapkan keseluruhan bahagian WCE di Perak yang membabitkan empat pakej jajaran iaitu Seksyen 8, 9, 10 dan 11.
“Kita berterima kasih kepada pihak konsesi WCE dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) untuk pemberian tol percuma selama dua bulan bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 11 Mei ini, iaitu sempena Ramadan dan Aidilfitri ini.
“Ini juga permintaan daripada Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad),” katanya lapor BH di Taiping pada Isnin.
Hadir sama ke majlis itu Saarani dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Laluan WCE Seksyen 11 yang dibuka hari ini membabitkan jajaran 35.5 kilometer (km) dengan kos RM422 juta menghubungkan pengguna dengan Lebuh Raya Utara Selatan di Plaza Tol Changkat Jering ke Beruas.
Laluan itu dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas kepada 20 minit berbanding 55 minit dengan laluan sedia ada.
WCE sepanjang 233km dari Banting, Selangor ke Taiping mula dibina pada 2014 menelan kos lebih RM5 bilion dengan RM1.900 bilion kos bagi pembinaan jajaran di Perak, manakala RM3.100 bilion jajaran di Selangor.
Alexander dalam ucapannya berkata, selaras dengan misi kementeriannya untuk memperkasa infrastruktur dan memperluas rangkaian jalan raya, WCE dibina dengan matlamat sebagai laluan alternatif dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas sekali gus menambah baik jaringan perhubungan negara.
Katanya, WCE menjadi pilihan laluan alternatif dari Lembah Klang ke utara terutamanya bagi penduduk di pesisir pantai barat Semenanjung.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pada mulanya tol percuma dicadang hanya untuk sebulan, tetapi beliau minta supaya kementerian lanjutkan kepada dua bulan sempena ketibaan Ramadan dan Syawal.
“Sedikit sebanyak memberi khabar gembira buat rakyat Perak yang pulang ke kampung halaman untuk berpuasa dan berhari raya bersama keluarga.
“Apa-apa pun, pandulah dengan cermat dan berhati-hati, ingatlah insan yang tersayang,” katanya.