Jika benar Sanusi dedah rahsia, OSA ada- PAS bidas Saifuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- PAS menempelak Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mendakwa kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor tidak menjaga rahsia menjadi antara faktor menyebabkan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan lebih setahun.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan Saifuddin selaku Menteri Dalam Negeri (KDN) tentang kewujudan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 sekiranya benar maklumat didedah Sanusi terkait rahsia rasmi.

“Jika yang didedah itu ialah rahsia rasmi, maka kita sudah ada prosedurnya sebelum ini, ada OSA, ada hukuman yang disediakan. Itu penyelesaiannya, bukan dengan tidak buat mesyuarat!

“Inilah kualiti Menteri harapan kerajaan PH-BN hari ini. Sibuk berpolitik, sehingga tak dapat buat mesyuarat,” bidas Fadhli.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pasir Mas itu juga secara sarkastik mengatakan menteri bersikap seperti Saifuddin wajar ‘dikekalkan’ dalam Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

“Kekalkan dia (Saifuddin) dalam barisan Kabinet, agar kerajaan ini lebih mudah dihumban oleh rakyat nanti,” gesa Fadhli.

Semalam, media melaporkan Saifuddin yang juga Pengerusi bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, Menteri Besar Kedah itu tidak sepatutnya merungut mengenai perkara berkenaan selepas beliau didapati sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat yang dihadiri sebagai modal berceramah di pentas politik.

Menurut Saifuddin, Sanusi tidak tahu membezakan perkara berkaitan urusan negara dengan perbezaan politik sehingga kadang kala memperlekeh pengerusi mesyuarat yang dihadirinya.

“Dia tak perlu mengadu kenapa mesyuarat pembangunan negeri tak dibuat. Menteri Besar ini banyak hadir mesyuarat Persekutuan, mesyuarat kewangan dan mesyuarat keselamatan.

“Tetapi saya dapati apabila dia balik daripada mesyuarat itu, dia gunakan maklumat dalam mesyuarat untuk ceramah kepada PAS cawangan sedangkan maklumat disampaikan tidak memberi gambaran sebenar.

“Mesyuarat rasmi kerajaan ada yang bertaraf rahsia besar, bertaraf sulit dan kalau dia hadir mesyuarat Persekutuan, kemudian balik hanya untuk memperlekeh apa yang berlaku dalam mesyuarat, maka dia seorang yang tak jaga decorum,” katanya.

Pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Khamis lalu, Sanusi menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan Saifuddin yang didakwa gagal mengadakan mesyuarat berkenaan sejak lebih setahun lalu bagi membincangkan projek infrastruktur Kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berlarutan kerana ia berkait dengan peruntukan di bawah Persekutuan dan sebahagiannya terletak bawah kuasa negeri seperti tanah.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tiada sebarang gangguan terhadap tugas dan peranan beliau sebagai pengerusi jawatankuasa itu bagi memantau pelaksanaan projek Persekutuan di Kedah walaupun mesyuarat itu sudah lama tidak diadakan.

Katanya, projek Persekutuan di negeri terbahagi kepada dua iaitu projek bukan fizikal yang boleh dilaksanakan seperti biasa dan projek fizikal yang kebiasaannya membabitkan kerja sambungan daripada kelulusan terdahulu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat