KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Isham Jalil menyelar pelawaan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Umno tidak pernah menutup pintu dan sedia menerima sesiapa sahaja termasuk dari Bersatu.
“Dulu No Anwar, No DAP, No Bersatu. Sekarang: Yes Anwar, Yes DAP, Yes Bersatu.
“Saya tak rasa ada parti Melayu nak masuk rumah UMDAP.
“Siapa nak masuk masuklah. Siapa yang masuk boleh duduk di bawah payung abang besar DAP; sekali dengan Amanah, PKR dan UMDAP.
“Ini bukan rumah bangsa, ini rumah abang besar. Rumah abang besar DAP. Semua kena ikut arahan dan akur,” tempelak Isham.
Semalam Zahid berkata, Umno sentiasa bersikap terbuka untuk menerima semula mana-mana individu kembali menyertai parti itu termasuk Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang berdepan kemungkinan dipecat partinya.
Presiden Umno itu berkata, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka untuk pemimpin atau individu yang ingin bersama Umno semula, selaras objektif penubuhan gagasan tersebut.
“Sebagaimana objektif penubuhan Rumah Bangsa, ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin kembali atau menyertai Umno, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.
“Umno ialah tempat untuk ahli Umno atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan Hamzah dalam Bersatu.



