PuTERA35 sasar sumbangan syarikat Bumiputera kepada 15% KDNK menjelang 2035 – Akmal Nasir

KUALA LUMPUR, — Kerajaan menyasarkan peningkatan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15 peratus menjelang 2035 menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, agenda pemerkasaan Bumiputera kini digerakkan secara lebih bersepadu dan selari dengan keutamaan nasional di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) serta kerangka Ekonomi MADANI.

Beliau berkata, PuTERA35 berteraskan tiga komponen utama iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) Bumiputera yang lebih bermakna, diterjemahkan melalui 12 pemacu dan 132 ikhtiar merentasi kementerian, agensi, GLIC dan GLC.

“Antara sasaran utama PuTERA35 adalah meningkatkan sumbangan perusahaan Bumiputera kepada KDNK sebanyak 15 peratus menjelang 2035. Kita mahu membina ekosistem yang membantu Bumiputera naik standard, daripada penyertaan asas kepada rantaian nilai, inovasi, pemilikan aset produktif dan daya saing global,” katanya ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach 2026 di sini hari ini .

Menurut beliau, setakat Disember 2025, populasi Bumiputera di Malaysia mencecah 21.8 juta orang atau 63.6 peratus daripada jumlah penduduk, sekali gus menjadi komponen utama dalam struktur demografi dan tenaga kerja negara.

Namun, sumbangan syarikat Bumiputera kepada KDNK masih sekitar 8.1 peratus, sekali gus menuntut tindakan lebih berani dan tersasar bagi memperkukuh penglibatan dalam sektor bernilai tinggi dan berintensif teknologi.

Akmal Nasrullah berkata, dalam tempoh setahun pelaksanaan PuTERA35, dua syarikat Bumiputera iaitu SumiSaujana Group Berhad dan Orkim Berhad berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia, masing-masing di Pasaran ACE dan Pasaran Utama.

Dari sudut kesejahteraan isi rumah, pendapatan purata bulanan isi rumah Bumiputera meningkat daripada RM7,599 pada 2022 kepada RM8,220 pada 2024, manakala kadar kemiskinan Bumiputera menurun daripada 7.9 peratus kepada 6.6 peratus dalam tempoh sama.

Kerajaan turut menyasarkan kemiskinan tegar Bumiputera sifar peratus menjelang 2035 berbanding 0.1 peratus pada 2024.

Beliau berkata, memasuki 2026, tumpuan lebih khusus diberikan kepada pembangunan usahawan Bumiputera melalui intervensi bersasar dalam 11 sektor potensi dan industri High Growth High Value (HGHV).

Pendekatan whole-of-government akan diguna pakai melibatkan pelbagai agensi seperti MARA, TERAJU, PUNB, SME Bank, SME Corp, EKUINAS serta kerjasama strategik GLIC dan GLC termasuk Khazanah Nasional, KWSP, KWAP, PNB, Tabung Haji, PETRONAS dan LTAT.

Dalam konteks itu, TERAJU akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin utama dalam mempercepat penskalaan perniagaan dan penciptaan nilai syarikat Bumiputera.

“Yang kita kejar bukan bilangan program, tetapi nilai yang tercipta dengan hasil yang nyata dan impak yang dirasai,” tegas beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa Dashboard Pemantauan PuTERA35 sedang dinaik taraf bagi memastikan pelaksanaan 132 ikhtiar di bawah pelan tersebut dapat dipantau secara bersepadu dan berasaskan data.

“Kita ukur kejayaan bukan hanya pada pengumuman, tetapi kepada pencapaian yang dicapai,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat