JOHOR BAHRU, — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menegaskan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan mendesak tindakan tegas diambil terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menafikan laporan sebuah akhbar bahawa kepimpinan Bersatu Johor telah hilang keyakinan terhadap Presiden adalah tidak benar dan mengelirukan.
Beliau menegaskan kenyataan oleh sesetengah Ketua Bahagian yang mendakwa wujud penolakan terhadap Presiden tidak mendapat mandat BPN Johor mahupun majoriti Ketua-Ketua Bahagian di negeri itu.
“Kenyataan mereka adalah pendirian peribadi dan sama sekali tidak mewakili pendirian rasmi BPN Johor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kepimpinan Presiden merupakan tonggak kestabilan parti dan sebarang cubaan menimbulkan persepsi sebaliknya hanya akan melemahkan organisasi serta mengelirukan ahli di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, BPN Johor mendesak Lembaga Disiplin parti supaya segera mengambil tindakan tegas terhadap Hamzah serta mana-mana penyokongnya yang didakwa berulang kali mengeluarkan kenyataan terbuka dan melakukan tindakan bercanggah dengan Perlembagaan parti, keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) serta disiplin organisasi.
Sahruddin berkata sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tindakan dan kenyataan pihak-pihak tertentu yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden itu jelas mencabar autoriti parti dan mencetuskan ketidakharmonian dalaman.
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia akan menjejaskan kestabilan serta kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik yang mendatang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa BPN Johor bersama Ketua-Ketua Bahagian di negeri itu telah mencapai ketetapan untuk mengemukakan memorandum rasmi kepada Presiden dan MPT bagi mendesak Lembaga Disiplin memecat Hamzah.
Memorandum tersebut, katanya, bertujuan memastikan tindakan disiplin yang tegas, adil dan muktamad diambil terhadap mana-mana individu yang secara berterusan melanggar Perlembagaan parti dan mencabar keputusan parti.
“Tiada mana-mana individu berada di atas Perlembagaan parti. Kelangsungan Bersatu hanya dapat dipertahankan sekiranya disiplin ditegakkan, kesatuan dipelihara dan kepimpinan Presiden terus diperkukuhkan,” katanya.



