Bacaan kali pertama pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling beri kuasa khas kepada Sabah, Sarawak – Arthur

KUALA LUMPUR, — Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini membentangkan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, yang antara lain bertujuan memberi kuasa kepada Menteri untuk menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) di mana-mana bahagian dalam Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pindaan bersejarah itu selaras dengan keputusan Perdana Menteri pada 14 April 2022 yang bersetuju menggunakan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa perundangan Persekutuan berkaitan alam sekitar di bawah Akta 127 kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak, khususnya melibatkan pengurusan buangan terjadual.

Menurut beliau, intipati utama pindaan tersebut adalah untuk membolehkan kedua-dua negeri melaksanakan dan menguatkuasakan perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual secara lebih autonomi dan selaras dengan konteks serta keperluan tempatan, tanpa menjejaskan komitmen dan kerangka dasar alam sekitar di peringkat Persekutuan.

“Langkah ini mencerminkan pendekatan Persekutuan yang lebih inklusif, menghormati kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak serta memastikan pengurusan alam sekitar yang lebih cekap, responsif dan berkesan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Arthur menegaskan bahawa pemberian kuasa tersebut tidak akan menjejaskan kawalan terhadap pengurusan buangan terjadual di seluruh negara. Walaupun terdapat pelarasan dari segi bidang kuasa, sistem pemantauan dan kawal selia sedia ada akan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan tahap perlindungan alam sekitar kekal konsisten.

Beliau berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu, yang membolehkan perbahasan lebih mendalam, dijangka dibentangkan dalam masa terdekat pada sidang Parlimen kali ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat