KUALA LUMPUR: Dalam situasi semasa yang dianggap getir ini, Presiden Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM), Khoo Kay Lye memohon warga industri kreatif tidak menuding jari sesama sendiri dan menyalahkan antara satu sama lain.
Khoo berkata, warga industri kreatif perlu bersatu menangani masalah ekonomi sektor ini yang semakin meruncing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.
“Ada pihak yang mahukan PPFIM menandatangani petisyen supaya Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, dipecat.
“Saya tidak mahu… Saya fikir ini bukannya masa untuk kita bergaduh. Ini adalah masa untuk kita semua bersatu dan bekerjasama.
“Ini penting supaya warga industri dapat kembali bekerja mencari duit, bukannya saling menyalahkan satu sama lain.
“Kita semua perlu bersatu dalam perkara ini kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin kita akan dapat membantu warga industri kreatif yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Sejak minggu lalu, kempen Solidariti Industri Kreatif digerakkan bagi mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia memecat Zakaria dan Ahmad Idham.
Dalam petisyen itu, kumpulan yang menggelarkan diri sebagai ‘Art Revolt’ mendakwa Zakaria dan Ahmad Idham meminggirkan warga penggiat seni dan mengeluarkan kenyataan tidak wajar kononnya mereka tidak menyumbang kepada ekonomi negara.
Khoo berkata, PPFIM faham Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) membangkitkan soal penambahbaikan Padu Citra.
Namun, katanya, pada masa ini, ada isu lain yang dianggap lebih penting untuk ditangani.
“Daripada bergaduh, lebih baik kita duduk berbincang bagaimana hendak mencari penyelesaian masala warga industri kreatif yang tidak dapat bekerja sekarang.
“Tolonglah hentikan semua perkara yang tidak bermanfaat ini. Sudah setahun COVID-19 melanda negara kita. Ketika PKP yang pertama, kita mampu menanganinya dengan baik, tetapi, apa yang boleh kita lakukan sekarang?
“Adakah COVID-19 akan berakhir? Saya berharap dan berdoa agar jangkitan ini segera berakhir,” katanya.
Khoo berkata, tindakan menyalahkan kerajaan ketika negara ‘berperang’ dengan COVID-19 tidak betul.
“Menuding jari bukanlah cara menyelesaikan masalah ini. PKP 2.0 dilaksanakan kerana kelekaan manusia yang tidak memikirkan masa depan negara,” katanya.

Khoo berkata, bekalan vaksin mungkin dapat mengurangkan jangkitan COVID-19, namun, andai sikap leka manusia tidak diatasi, PKP akan dikuatkuasakan semula.
“Tiba masa untuk kita bangkit, hadapi dan selesaikan situasi yang dialami sekarang. Kita mesti bekerjasama untuk menyingkirkan virus ini demi masa depan kita dan negara ini,” katanya.
Justeru itu, PPFIM mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti penggambaran yang lebih ketat dilaksanakan.
“Semua penerbit, pekerja belakang tabir, pelakon dan sebagainya wajib lulus ujian COVID-19 tidak lebih tiga hari sebelum penggambaran.
“Sesiapa yang tidak mempunyai surat ujian sah, tidak dibenarkan memasuki set penggambaran. Syarikat produksi juga hendaklah diwajibkan melantik seorang pegawai perubatan terlatih bagi setiap hari penggambaran.
“Pegawai perubatan terbabit perlu menghalang sesiapa yang mempunyai gejala daripada memasuki set penggambaran.
Dia juga mengambil suhu badan, memastikan setiap individu mengisi borang soal selidik perjalanan dan kontak rapat.
“Selain itu, pegawai perubatan terbabit perlu meneliti surat pengesahan COVID-19, memastikan semua orang memakai pelitup muka dan kawasan penggambaran sentiasa bersih,” katanya.
Khoo berharap dengan SOP lebih ketat, penularan COVID-19 dalam kalangan sektor penerbitan dapat dihalang.
“Walaupun SOP baharu membabitkan kos yang lebih tinggi, kami berharap kerajaan boleh menyokong inisiatif ini bagi memastikan keselamatan semua pekerja.
“Ini penting agar kita boleh membangunkan kembali industri kreatif kita yang sudah dianggap ‘nyawa-nyawa ikan’ ini,” katanya.
Berita harian