Oleh Zihan Zari
SHAH ALAM – Sebanyak 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Daerah Klang telah selesai dialihkan menerusi Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang terlibat dengan Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato ’ Hj. Mohd Shahzihan Ahmad berkata, dalam tempoh empat hari, kerja-kerja pengalihan kubur telah bermula pada 6 hingga 9 Januari 2025 yang melibatkan sebanyak 30, 28, 20 dan 12 plot kubur.
Menurutnya , JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memantau kerja-kerja pengalihan kubur dengan mengikut pelan kerja yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JMNS, PDRM dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL).
Menurutnya lagi, sepanjang proses pengalihan kubur dijalankan, pihak waris dan orang awam dilarang untuk mendekati kawasan proses pengalihan kubur bagi memastikan langkah-langkah kesihatan, keselamatan dan kelancaran semua kerja-kerja yang berlaku di lapangan.
“Pemakluman awam kepada waris untuk membuat pengecaman plot kubur ahli keluarga sebelum 5 Januari lalu dan pemakluman kerja-kerja pengalihan kubur pada 6 hingga 9 Januari 2025 telah dibuat oleh JAIS
“Pengumumannya dihebahkan menerusi semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor selama tiga kali berturut-turut hari Jumaat iaitu pada 20 Disember, 27 Disember tahun lepas dan 3 Januari lalu, ”katanya dalam kenyataan pada Khamis.
“Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pula telah membuat hebahan awam melalui Facebook Rasmi, manakala MRL telah membuat pemakluman hebahan awam melalui laman sesawang dan papan tanda di tapak.
“JAIS bersyukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan pengalihan kubur ini dapat disempurnakan dengan lancar.
“Terima kasih juga kepada ahli waris yang telah memberikan kerjasama penuh ketika proses pengalihan kubur ini dibuat,”katanya lagi.
“Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa akan diadakan oleh JAIS untuk jenazah yang terlibat dalam pengalihan kubur dalam tempoh terdekat dan semua ahli waris akan dimaklumkan mengenainya,”ujarnya. – SUARA.TV