KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah formula baharu beliau.
Menurut beliau, JS-SEZ juga dijangka akan meningkatkan permintaan kepada tenaga boleh baru (TBB) yang akan mempercepatkan pembinaan kapasiti TBB ke arah peralihan tenaga.
Jelas Rafizi, kapasiti TBB yang ditawarkan oleh Johor dan Malaysia (seperti yang digariskan oleh NTER) akan menjadi daya tarikan utama pelabur antarabangsa untuk ke JS-SEZ dan Malaysia kerana tuntutan undang-undang di negara maju yang berkehendakkan penggunaan TBB.
“Instrumen perjanjian berbentuk MOU untuk menubuhkan satu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dimeterai hari ini.
“MOU ini menjadi dokumen yang memandu rundingan di antara Malaysia dan Singapura untuk memperincikan bagaimana sebuah Zon Ekonomi Khas dapat diwujudkan untuk merancakkan ekonomi di Johor dan Singapura.
“Berdasarkan rundingan yang dipandu oleh MOU ini, Malaysia dan Singapura dijangka akan memuktamadkan satu perjanjian JS-SEZ menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Rafizi menyatakan, rundingan diketuai oleh Kementerian Ekonomi (bagi Malaysia) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (bagi Singapura).
“Mungkin ada yang akan menempelak: “formula baru lagi!”
“Saya melontarkan idea JS-SEZ ini Julai yang lepas. Alhamdullillah, ia disambut baik oleh YAB Dato’ Menteri Besar Johor dan Minister Desmond Lee (rakan sejawat saya dari Singapura) dan dipersetujui menjadi agenda ekonomi penting antara Malaysia dan Singapura,” kongsi beliau.
Mengulas lanjut Rafizi mengungkapkan keperluan diwujudkan JS-SEZ ini.
Kata beliau, Singapura adalah rakan dagang utama kita. Singapura mempunyai kelebihan dan kepakaran dalam beberapa perkara, tetapi Singapura juga ada kekangan.
Begitu juga Johor.
“Johor ada banyak kelebihan yang boleh memanfaatkan bukan sahaja Johor atau Malaysia, tetapi juga Singapura. Tetapi potensi ekonomi Johor (dan Malaysia) menjadi lebih tinggi sekiranya kita bekerjasama dengan Singapura untuk mencari titik kekuatan bersama yang saling melengkapi.
“Ada beberapa faedah utama JS-SEZ yang perlu kita bangunkan. Pertama, saling keterhubungan di antara Johor dan Singapura akan membolehkan pergerakan manusia, barang dan perdagangan yang lebih rancak di antara kedua-dua negara.
“Selain tujuan ekonomi, keterhubungan yang lebih licin akan membantu menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor yang menyebabkan ratusan ribu rakyat Johor terpaksa bangun pagi untuk bekerja di Singapura.
“Saya membayangkan selain dari proses imigresen yang lebih mudah dan infrastruktur pengangkutan yang berkapasiti tinggi, peluang pekerjaan baru yang melibatkan syarikat Singapura dan antarabangsa di Johor akan meredakan tekanan pergerakan manusia ini di masa hadapan, kerana lebih ramai yang akan bekerja di Johor (bukannya perlu merentasi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura),” katanya.
Rafizi juga menyebut, kita juga berpeluang untuk menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa kerana pelabur-pelabur boleh menggunakan kemudahan yang ditawarkan di kedua-dua buah negara untuk membina operasi mereka, tanpa perlu melabur dua kali (atau membuka dua syarikat).
“Contohnya bagi sebuah syarikat antarabangsa, sebahagian dari urusan pentadbiran yang bersifat khidmat profesional ditempatkan di Singapura, tetapi fasiliti operasi berada di Johor.
“Pekerja boleh keluar masuk dan bergerak dengan mudah kerana mereka berada di dalam satu zon ekonomi yang sama.
“JS-SEZ juga dijangka akan meningkatkan permintaan kepada tenaga boleh baru (TBB) yang akan mempercepatkan pembinaan kapasiti TBB ke arah peralihan tenaga. Kapasiti TBB yang ditawarkan oleh Johor dan Malaysia (seperti yang digariskan oleh NTER) akan menjadi daya tarikan utama pelabur antarabangsa untuk ke JS-SEZ dan Malaysia kerana tuntutan undang-undang di negara maju yang berkehendakkan penggunaan TBB.
“Saya tidak rasa saya akan melihat keseluruhan potensi zon ekonomi ini menjadi kenyataan kerana masa yang saya ada adalah terhad. Satu hari nanti, saya berdoa masyarakat antarabangsa merujuk mengenai JS-SEZ ini seperti mereka bercakap mengenai Shenzen-Hong Kong sebelum ini,” jelas beliau.
Tetapi kerja untuk merealisasikan visi ekonomi itu bermula sekarang, kata Rafizi.
“Terima kasih kepada pegawai-pegawai yang bertungkus lumus membina momentum dan menjaga kepentingan negara dalam rundingan MOU hingga ke peringkat ini.
“Kita ada beberapa bulan untuk membawanya ke tahap yang seterusnya, teruskanlah berbakti untuk negara dan generasi akan datang,” ucapnya.