Kaji semula duti hiburan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Syamsul Yusof membangkitkan isu duti hiburan yang didakwa sutradara muda itu terlalu tinggi pada sesi Instagram (IG) Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), baru-baru ini, menarik perhatian pembikin filem dan peminat sinematik mengenai topik itu.

Pada sesi IG Live yang dikendalikan sempena Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, Syamsul mendakwa cukai hiburan yang dikenakan kerajaan terlalu tinggi dan tidak relevan dengan kemampuan penerbit.

Tambahnya, sesuatu perlu dilakukan termasuk mengusulkan isu cukai hiburan yang membebankan penerbit filem kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa agar kerajaan dapat berbuat sesuatu.

Suara Syamsul disahut pembikin filem dan penerbit apatah lagi ketika industri kreatif bertatih menghidupkan kembali operasi, selepas terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19, dua tahun lalu.DISYORKAN UNTUK ANDA.

Rata-rata, penggiat industri perfileman menganggap duti hiburan antara 20 hingga 25 peratus daripada jualan tiket yang dikenakan ke atas filem yang ditayangkan di pawagam, membebankan, apatah lagi operasi panggung wayang belum pulih sepenuhnya susulan pandemik COVID-19.

Pemilik empayar Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam mengaku, duti hiburan di Malaysia menjadi antara yang tertinggi di Asia, malah seluruh dunia.

Tambahnya, di Singapura, kadar cukai dikenakan hanyalah tujuh peratus daripada penjualan tiket.

“Duti hiburan yang dikenakan adalah berbeza mengikuti negeri iaitu antara 20 hingga 25 peratus kecuali di Sabah yang tidak mengenakan cukai,” katanya kepada BH Online.

 

Yusof berkongsi, duti hiburan di Malaysia menjadi antara yang tertinggi di Asia, malah seluruh dunia.
Yusof berkongsi, duti hiburan di Malaysia menjadi antara yang tertinggi di Asia, malah seluruh dunia.

 

Yusof berkata, dalam suasana di mana industri perfileman terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan pawagam rata-rata masih kosong, pengecualian cukai diharap dapat diberi kepada penerbit.

“Jika kerajaan dapat mengurangkan kadar 25 peratus kepada tujuh peratus, itu sangat dialu-alukan. Namun, jika kerajaan dapat mansuhkan terus duti hiburan, itu lebih baik,” katanya.

Yusof berkata, penerbit dan pengusaha panggung wayang cukup terkesan akibat penukaran pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

“Sebelum ini, duti hiburan yang dikenakan ke atas pengusaha filem dikembalikan semula kepada penerbit. Katakanlah tiket menonton wayang adalah RM10, jadi, kerajaan ambil antara 20 hingga 25 peratus daripada jualan tiket itu.

“Baki yang tinggal sebanyak RM7.50 perlu dikongsi sama rata antara pawagam dan penerbit,” katanya.

Yusof berkata, sejak 2010, duti hiburan tidak dikembalikan sebaliknya penerbit menerima insentif melalui skim Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC).

“Jumlah insentif yang diterima penerbit bergantung kepada kutipan filem. Insentif itu diberi kepada filem yang meraih kutipan lebih RM1 juta.

“Jika duti hiburan itu dipulangkan kembali kepada penerbit, sekurang-kurangnya penerbit bolehlah menggunakan wang itu untuk tujuan lain,” katanya.

 

Penggiat industri perfileman menganggap duti hiburan antara 20 hingga 25 peratus daripada jualan tiket filem ditayangkan di pawagam membebankan, apatah lagi, operasi pawagam belum pulih sepenuhnya susulan COVID-19.
Penggiat industri perfileman menganggap duti hiburan antara 20 hingga 25 peratus daripada jualan tiket filem ditayangkan di pawagam membebankan, apatah lagi, operasi pawagam belum pulih sepenuhnya susulan COVID-19.

 

Yusof mengambil contoh filem Munafik terbitan syarikatnya yang meraih kutipan RM40 juta, namun, hampir RM10 juta kutipan daripada duti hiburan perlu dibayar kepada kerajaan.

“Jika dahulu, RM10 juta dikembalikan kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Namun, sejak ia dimansuhkan dan ITFC diperkenalkan, penerbit tidak dapat menikmati apa-apa kerana duti hiburan dikembalikan semula kepada kerajaan,” katanya.

Namun, Yusof berterima kasih kepada kerajaan kerana banyak kelebihan diperoleh penerbit filem berbanding negara lain.

“Selama ini, banyak bantuan diberi kepada penggiat industri seperti geran dan dana.

“Kemudahan seperti itu tidak disediakan di negara lain. Saya difahamkan penerbit filem di Indonesia tidak memiliki keistimewaan seperti yang disediakan kerajaan kita.

“Namun, kita berharap kerajaan dapat menimbang soal duti hiburan. Semuanya kerana penerbit dan pengusaha pawagam amat terkesan dengan pandemik COVID-19 dan bencana banjir, baru-baru ini,” katanya.

Yusof berkata, industri filem tempatan membantu menggerakkan ekonomi negara.

“Pada 2018, sebanyak RM1 bilion dikutip untuk filem antarabangsa dan tempatan yang menyumbang RM250 juta pulangan kepada kerajaan pusat dan negeri,” katanya.

 

Gayatri berharap FINAS dapat menilai semula duti hiburan direndahkan agar penerbit filem dapat terus bertahan.
Gayatri berharap FINAS dapat menilai semula duti hiburan direndahkan agar penerbit filem dapat terus bertahan.

 

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Infinitus, Gayatri Su-Lin Pillai berharap rebat antara 20 hingga 25 peratus yang sebelum ini dimansuhkan dan digantikan dengan pemberian ITFC, dihidupkan semula.

Penerbit filem J2: J Retribusi ini berkata, biarpun FINAS memperkenalkan ITFC, penerbit filem masih menanggung kerugian banyak.

“Sebelum ini, pembikin filem menikmati rebat antara 20 hingga 25 peratus daripada tiket yang dijual. Tapi apabila ITFC diperkenalkan, penerbit filem menerima insentif mengikut kutipan filem.

“Jika kutipan filem mencecah RM1 juta, insentif diberikan sebanyak RM350,000. ITFC diberi dengan tujuan memberi galakan kepada penerbit agar terus menghasilkan filem.

“Jadi, jika duti hiburan direndahkan, lebih banyak insentif bakal dinikmati penerbit. Dalam keadaan pandemik ini, boleh dikatakan semua pengusaha filem terjejas.

“Jadi, kami berharap FINAS dapat menilai semula syor ini agar penerbit filem dapat terus bertahan,” katanya.

ITFC diperkenalkan pada 2010 bagi menggantikan rebat duti hiburan.

Melalui inisiatif ini, filem cereka yang mendapat kutipan hingga RM2 juta diberi insentif sebanyak RM200,000, manakala filem yang meraih kutipan tiket lebih RM2 juta hingga RM4 juta mendapat bayaran sebanyak 10 peratus daripada kutipan.

Bagi filem cereka yang mendapat kutipan melebihi RM4 juta hingga RM6 juta, insentif sebanyak lima peratus daripada jumlah kutipan tiket akan dibayar.

Filem cereka yang mendapat kutipan tiket melebihi RM6 juta tidak akan diberi insentif.’

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat