Jangan Buat Tohmahan Melampau, Azam Baki Belum Terbukti Bersalah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Prinsip undang-undang menegaskan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan bukan melalui perbicaraan awam atau perbicaraan media,” kata Presiden Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai SPRM, Datuk Mazlan Mohamad.

Menurut beliau, tindakan pelbagai pihak melemparkan tuduhan terhadap Tan Sri Azam Baki secara peribadi dan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara umum dilihat keterlaluan.

Malah kata Mazlan, dakwaan itu seolah-olah Ketua Pesuruhjaya SPRM itu telah ‘bersalah’ atas tohmahan yang dilemparkan sehingga boleh mengakibatkan tahap keyakinan masyarakat terhadap agensi tunggal pencegahan rasuah negara itu terjejas teruk.

Hal demikian Persatuan Bekas Pegawai-Pegawai SPRM itu bagaimanapun memandang serius isu melibatkan Azam yang dikatakan memegang jumlah saham besar di beberapa syarikat senaraian awam.

Namun begitu, Mazlan menegaskan, persatuan berkenaan berdiri teguh atas prinsip undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan bukan melalui perbicaraan awam atau perbicaraan media.

Menurut Mazlan, persatuan mempunyai keyakinan yang tinggi ke atas sistem keadilan jenayah serta proses perundangan yang menjamin maruah individu serta organisasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Persatuan ini berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi ke atas isu berkaitan tetapi menanti keputusan siasatan dijalankan polis dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Dalam pada itu, persatuan ini juga yakin bahawa kedua-dua institusi berkenaan akan menjalankan siasatan bebas, adil dan telus selaras dengan peruntukan perundangan negara serta menggesa siasatan diberi keutamaan dan disegerakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Azam dilantik selepas lalui proses tentukan kelayakan

Mengulas lanjut, Mazlan turut memohon semua pihak sama ada yang berkepentingan atau sebaliknya supaya menyokong penuh terhadap proses undang-undang negara dan bukan atas faktor emosi.

“Persatuan ini juga menyarankan semua pihak terus memberi sokongan penuh dan kerjasama kepada satu-satunya institusi pencegahan rasuah ini iaitu SPRM.

“Dalam usaha membanteras jenayah rasuah supaya negara kita bebas daripada perkara terkutuk ini serta terus membangun sebagai sebuah negara yang maju, aman dan makmur,” jelas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat