KUALA LUMPUR — Pelantikan tiga jawatan kanan yang baharu dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai satu langkah positif bagi mempertingkat usaha parti untuk menjadi gabungan politik yang memenuhi citra rakyat Malaysia.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, dengan adanya saf kepimpinan baharu, seluruh tumpuan akan diberikan kepada Pilihanraya beberapa negeri yang akan berlangsung tahun depan khususnya Pilihanraya Umum akan datang.
Jelasnya lagi, pemantapan struktur ini juga mempamerkan PN yang lebih dinamik, tersusun dan progresif.
“Selepas pemilihan Parti Bersatu dan pelantikan beberapa pemimpin di dalam MT PN yang telah berjalan dengan tertib, dengan adanya saf kepimpinan yang baharu seluruh tumpuan akan diberikan kepada Pilihanraya beberapa Negeri yang akan berlangsung pada tahun 2025 dan khususnya Pilihanraya Umum.
“Ketiga-tiga tokoh ini mempunyai latar belakang dan pengalaman yang luas dalam bidang politik dan pentadbiran Kerajaan di peringkat Negeri dan Negara.
“Hubungan kekeluargaan dan musyawarah di antara semua parti komponen Perikatan Nasional sekali lagi terbukti bahawa gagasan ini kukuh dan mampu membuat keputusan-keputusan penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, beliau berkata Armada juga menyokong penuh penubuhan Jabatan Dasar dan Strategi yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Perikatan Nasional.
“Penubuhan jabatan ini akan membantu PN membina naratif baharu serta membuktikan kesediaan PN untuk Kembali menerajui Putrajaya.
“Menyedari bahawa rakyat Malaysia mendahagakan kepimpinan Kerajaan yang lebih prihatin rakyat, maka Perikatan Nasional sedang memperkemaskan strategi dan pendekatan supaya Perikatan Nasional menjadi sandaran rakyat pada Pilihanraya-Pilihanraya Negeri dan Pilihanraya Umum akan datang,” katanya.
Semalam, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti Perikatan Nasional telah bersidang dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Muhyiddin Mohd Yassin.
Tiga jawatan kanan telah diisi oleh lantikan baharu iaitu Ketua Wanita Perikatan Nasional kini disandang oleh Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional yang baharu adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan yang baharu dilantik adalah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.