TTC, unit elit Jabatan Penjara Malaysia mantap dan dinamik

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KAJANG – Siapakah gerangannya, anggota yang berpakaian seragam, seringkali kelihatan melaksanakan tugasan kawalan keselamatan rapat (close protection) ke atas banduan berprofil tinggi ke mahkamah.

Mungkin ramai yang memandang tetapi tidak mengetahui bahawa itulah Trup Tindakan Cepat atau nama singkatannya TTC adalah pasukan elit kebanggaan daripada Jabatan Penjara Malaysia.

Suara derap langkah kaki anggota TTC dan tahap kesiagaan yang tinggi (high state of readiness) dilengkapi ‘Senjata Pertahanan Peribadi’ atau Personal Defense Weapon (PDW) seperti CZ Scorpion Evo 3, Benelli Nova, Glock dan MP5A3 pastinya dalam kalangan penghuni penjara akan berdebar , gugup dan gentar melihat aksinya.

Keupayaan TTC dan kemampuannya sebagai pasukan elit bukan kaleng-kaleng bahkan ketangkasannya kini menjadi bualan di bibir masyarakat.

Wartawan SUARA TV diberi kesempatan oleh pihak berkuasa penjara untuk meninjau secara lebih dekat unit elit TTC yang berpangkalan di Penjara Kajang dan berpeluang menemuramah Ketua Unit TTC , Timbalan Penguasa Penjara, DSP Yusli Yusof.

Mengimbau kembali tragedi tebusan 37 tahun lalu di Penjara Pudu pada pagi Jumaat, 17 Oktober 1986. Mangsa adalah bekas Pakar Kulit, Allahyarham Dr. Radzi Jaafar dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan bekas Pembantu Perubatan, Allahyarham Abdul Aziz Abdul Majid.

Bekas Inspektor polis Singapura , Chua Chep Seng @Jimmy Chua bersama konconya, Lam Hock Sung, Ng Lai Huat, Sin Ah Lau, Yap Chee Keong dan Phang Boon Ho menuntut dua buah kereta untuk keluar dari penjara dan mendesak supaya tuduhan ke atas mereka diringankan. Empat daripadanya menghadapi tuduhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Penyelesaian peristiwa ini dikaitkan dengan keberanian mantan, Ketua Pengarah Penjara (KP) Datuk Ibrahim Mohamed (Allahyarham) dan Pengarah Pemulihan Penjara, Charan Singh antara dua individu penting yang bertungkus-lumus bertindak sebagai penyelaras rundingan antara polis dan penculik.

Akhirnya pada 22 Oktober 1986 sekitar jam 5.30 petang seramai 12 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman diketuai oleh SAC (B) Datuk Navaratnam Appadurai dengan cota dan rotan mereka menyusup pantas dalam masa satu minit sahaja tanpa disedari oleh Jimmy Chua.

Jimmy Chua menghadapi enam kes jenayah antaranya menembak mati Konstabel Mohd Yasin Ismail pada 8 Februari 1984. Dia dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 November 1986 di bawah Seksyen 57(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana memiliki sepucuk pistol Llama calibre .32 dan enam butir peluru. Nyawanya berakhir di tali gantung pada 10 Oktober 1989 di Penjara Pudu.

Manakala Ng Lai Huat, Sim Ah Lam dan Lam Hok Sung dihukum penjara lima tahun kerana menculik dengan niat mengurung mangsa secara salah mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan. Pang Boon Boo dan Yap See Keong pula dihukum penjara tiga tahun.

Peristiwa yang sama berlaku di Penjara Kuantan pada 7 Januari 1987, jam 10.30 pagi dicetuskan oleh tiga tahanan reman warga Indonesia, Ahmad Mohamad Noor, Agoes Salim Ahmad dan Ahmad Sulaiman
ditahan sejak 1985 di bawah ISA atas kesalahan membunuh dan rompakan bersenjata api di Jalan Kuantan-Temerloh pada Disember 1984.

Mereka bersama-sama 100 tahanan lain menunggu giliran di dewan kecil berdinding kayu untuk mendengar perintah lanjutan reman dan penetapan tarikh bicara dari Majistret Mariana Yahya (kini Datuk Seri).

Dengan berbekalkan senjata besi tajam mereka menyerbu ke arah Mariana dan bertindak ganas menolak keluar seorang Inspektor dan dua orang konstabel, sempat memecah masuk ke dalam bilik Penguasa Penjara bersebelahan dewan itu untuk mencuri sepucuk pistol.

KP Datuk Ibrahim hampir ditikam ketika bersemuka memujuk dan berunding namun Ahmad Sulaiman terus bertindak agresif dan berlaku pergelutan.

Peristiwa hitam itu akhirnya berhasil ditangani tuntas apabila anggota UTK meluru masuk dan melepaskan das tembakan tepat ke arah Agoes Salim dan Ahmad Sulaiman, serentak mati serta-merta manakala Ahmad Mohamad cedera parah.

Mariana yang trauma mengalami luka kecil di leher akibat terkena besi tajam dapat diselamatkan dan dihantar ke Hospital Besar Kuantan (Hospital Tengku Ampuan Afzan) untuk rawatan lanjut.

Ahmad Mohamad kemudiannya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuantan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 termasuk memiliki senjata api di bawah ISA didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati.

Pihak berkuasa penjara ketika itu tidak mempunyai pasukan elit khusus bagi menangani sebarang krisis sedemikian, turut berdepan masalah kesesakan banduan dan kekurangan kakitangan.

Pada 1986 jumlah banduan di Penjara Pudu bertambah melebihi kapasiti asalnya mencecah sebanyak 6,550 orang menyebabkan kesesakan di luar jangkaan sehingga mereka terpaksa bergilir-gilir (shift) untuk tidur.

Pada 1989 dilaporkan di dada akhbar, sindiket penyeludupan dadah oleh segelintir pegawai penjara di beberapa buah penjara ketika itu, antaranya di Penjara Pudu, Kajang , Pulau Pinang dan Johor Bahru. Mereka yang terlibat telah ditahan selama 2 tahun di Penjara Simpang Renggam di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Ketua Unit Trup Tindakan Cepat TTC Jabatan Penjara Malaysia DSP Yusli Yusof Foto Zihan Zari

Menurut DSP Yusli , berikutan insiden itu, pihak pengurusan tertinggi telah mengambil keputusan untuk  menubuhkan Unit Kawalan dan Pencegahan (UKP) mempunyai kuasa memeriksa banduan dan pelawat malah kakitangan penjara supaya bersih daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang seperti menyeludup dadah ke dalam penjara.

Selain itu, ditugaskan di tempat yang strategik sama ada di dalam atau di luar penjara dan kekal sehingga sekarang di setiap institusi penjara di seluruh negara.

Semenjak 2007 hingga Ogos 2008 sebanyak 18 kes serangan oleh banduan telah dilakukan terhadap pegawai penjara. Hasil daripada siasatan didapati antara punca serangan berlaku kerana tindakan penyeludupan artikel larangan yang merbahaya oleh banduan berisiko tinggi yang terlibat dengan kes jenayah yang serius, banduan yang cuba melanggar peraturan penjara dan ingkar arahan.

Yusli berkata, TTC diasaskan pada 2005 oleh mantan Komisioner Jeneral Penjara, CGP Datuk Mustafa Osman. Ketika itu terdapat keperluan bagi menubuhkan pasukan elit khas berdasarkan situasi semasa bagi meningkatkan tahap keselamatan di dalam dan di luar premis penjara.

Cetusan idea dan nama unit elit ini pula dinukilkan oleh mantan Timbalan Ketua Pengarah Penjara, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Wan Nazarie Wan Mahmood, ketika itu.”

Semasa awal penubuhannya hanya 20 orang berjaya dan Yusli adalah antara kelompok awal trup nukleus pertama TTC ketika itu layak menjalani latihan asas komondo selama tiga bulan yang dikendalikan oleh jurulatih Rejimen Grup Gerak Khas (21 GGK) di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Sungai Udang, Melaka.

“Anggota TTC akan menjalani latihan lanjutan secara berterusan mendalami kepakaran masing – masing bagi melayakkan mereka menyertai sebarang operasi, di samping memantapkan keupayaan mereka.

Bagi tujuan itu , dari masa ke semasa Jabatan Penjara telah menjalin kerjasama strategik turut berkolaborasi dengan pasukan elit terbaik lain seperti Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Gerakan Khas 69 Komando (VAT69) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Untuk menjadi anggota TTC
bukanlah mudah, selain ketahanan fizikal, calon mestilah memiliki semangat kental dan mental yang tinggi amat diutamakan.

‘Kedatanganmu tidak diundang , ragu-ragu sila pulang’, begitulah kata-kata keramat apabila memasuki Kem Komando. Jika berjaya memasuki kawasan harimau berantai ini maka hanya yang terbaik sahaja akan bergelar anggota elit TTC.

Pemilihannya terbuka di kalangan pegawai penjara berumur 35 ke bawah, tahap kesihatan yang baik (tiada kecacatan) telah disahkan dalam perkhidmatan dan tiada tindakan tatatertib, ”ujarnya.

“Ramai yang memohon, dianggarkan 100 ke 150 orang calon tetapi hanya
segelintir kecil terpilih. Hanya ketahanan fizikal dan mental mampu berjaya melepasi tapisan awal yang ditetapkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Antaranya , larian sejauh 3.2 km bawah 18 minit, mendagu (heaving) sebanyak 7 kali, sit up – 25 kali seminit, push up – 25 kali seminit, menyelamat mangsa (fireman lift) – 100 meter, berenang bebas – 100 meter, menyelam sedalam 15 meter, terjun – 10 meter, ujian apungan selama 5 minit, panjat tali setinggi 6 meter, ujian kemahiran menembak, ujian bertulis IQ Test (ujian bagi menentukan tahap kecerdasan dan kepandaian ) EQ Test (ujian kecerdasan emosi ) dan ujian ukur kemampuan fizikal dan tapisan intergiti.

Selepas itu baharulah mereka diterima mengikuti kursus asas komando di Pusat Latihan PASKAL Pangkalan TLDM, Lumut, di VAT 69 PDRM berpangkalan di Ulu Kinta atau di PULPAK, Sungai Udang.

Di pusat latihan itu, pelatih perlu mengharungi modul latihan yang ditetapkan serta pelbagai kepakaran didedahkan, antaranya tempur tanpa senjata, teknik pertempuran jarak dekat atau Close Quarter Battle (CQB), pengendalian bahan letupan dan menyelamat tebusan.

Selain itu mereka didedahkan dengan latihan pengiring rapat untuk menentukan keselamatan peribadi ke atas orang penting (VIP) atau orang kenamaan (VVIP) seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan, Yang di-Pertua Negeri, Perdana Menteri dan Menteri yang datang melawat ke dalam penjara dari sebarang kemungkinan ancaman atau sebarang serangan fizikal serta boleh membuat keputusan dengan pantas.

Walaupun handal, mereka perlu melepasi halangan khusus siang dan malam yang lebih sukar, keras, mencabar, lasak dan ekstrem disusuli semangat juang yang kental dan kecekalan luar biasa.

Kekuatan tidak datang dari kemampuan fisikal, tetapi ia datang dari semangat yang tidak pernah mengalah, baharulah secara rasminya digelar sebagai komando TTC dan layak dianugerahkan beret dan lanyard merah sebagai lambang kemegahan, keberanian, ketabahan, ketaatsetiaan serta kerelaan berkorban apa sahaja demi kepentingan dan kedaulatan negara, “ujarnya lagi.

“Sekiranya berlaku rusuhan, dahagi, provokasi atau sebarang kemungkinan kejadian luar biasa yang tidak diingini yang dicetuskan oleh banduan berprofil tinggi, tahanan Sosma atau kumpulan penjenayah terancang.

Maka dengan kekuatan sedia ada TTC boleh digerakkan pada bila-bila masa dan bertindak menanganinya mengikut kod dan zon masing-masing.

Bagi kod kuning mampu ditangani oleh setiap institusi penjara. Kod merah pula tidak mampu ditangani akan diserahkan kepada TTC untuk menyelesaikannya mengikut SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh KP Komisioner Jeneral Penjara selaras dengan Akta Penjara 1995 dan Peraturan -peraturan Penjara 2000.

Buat masa ini unit elit TTC dibahagikan dan ditempatkan mengikut zon iaitu Pusat Latihan Pegawai Penjara Taiping (Utara), Pusat Latihan Pegawai Penjara Marang (Timur), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang (Tengah), Penjara Kluang (Selatan) manakala Sabah dan Sarawak ditempatkan di Ibu Pejabat Penjara masing-masing.

Mengikut rekod antara penjenayah berbahaya seperti Geng Mamak, Kumpulan M16, Geng Deva dan Geng Tiger Snook yang pernah di tahan di dalam penjara manakala kumpulan jenayah terancang pula iaitu Geng Sakai, Geng Chandra, Geng Kabali dan Geng Otong. Kumpulan pengganas yang pernah ditahan termasuk Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).

Kita tidak mahu seperti mana kejadian di luar negara apabila banduan ke mahkamah dibunuh oleh kumpulan pengganas malah pegawai penjara sebagai pengiring turut terkorban. Bukan itu sahaja, berlaku kejadian rusuhan penjara di luar negara menyebabkan pegawai penjara dan polis sendiri cedera dan terbunuh, ”tambahnya.

“Setakat ini pihaknya berjaya menyelesaikan insiden rusuhan antaranya yang pernah berlaku di Penjara Reman Johor Baharu melibatkan 260 tahanan pada 15 Julai 2008. TTC telah melakukan pemeriksaan rapi selama 12 hari ke atas banduan, di setiap sel dan sudut penjara itu.

Mereka dipercayai bertindak demikian setelah dikatakan tidak berpuas hati dengan pemeriksaan yang dilakukan pegawai penjara terhadap salah seorang daripada tahanan dan menyerbu ke markas UKP.

Susulan kejadian pencerobohan pengganas di Lahad Datu pada Februari 2013, beberapa institusi penjara di Sabah begitu kritikal berdepan ancaman serius daripada pengganas Sulu. Di situ menempatkan tahanan pengganas Sulu yang melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong.

Oleh kerana tahanan ini berkebolehan mengendalikan senjatapi ditambah pula di dalam penjara mempunyai Bilik Persenjataan (AMRA) maka anggota TTC dikerah bertugas 24 jam sebagai langkah berwaspada dan meningkatkan kawalan keselamatan selama enam bulan di Penjara Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Anggota TTC dikerahkan bertugas setelah menerima arahan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Komisioner Jeneral Penjara untuk membawa 16 anggota kumpulan pengganas yang terlibat dalam tragedi pencerobohan berdarah di Lahad Datu menaiki pesawat ke Semenanjung Malaysia bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Rayuan , Putrajaya pada 7 Jun 2017 berkaitan kesalahan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesemua tertuduh itu terdiri daripada tiga rakyat Malaysia iaitu Pabblo Alie, Abdul Hadi Mawan dan Mohamad Ali Ahmad serta 13 rakyat Filipina termasuk Datu Amirbahar Hushin Kiram, Julham Rashid, Lin Mad Salleh, Virgilio Nemar Patulada @ Mohamad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Tani Lahad Dahi, Basad H. Manuel, Aiman Radie, Holland Kalbi, Ismail Yasin, Atik Hussin Abu Bakar, Al-Wazir Osman dan Timhar Hadil.

Hasil kecekapan anggota TTC , tugas ini dapat dilaksanakan walaupun berisiko tinggi tanpa kejadian buruk berlaku di dalam pesawat mahupun perjalanan pergi dan balik sehinggalah selesai perbicaraan.

Susulan itu, seramai 2 pegawai dan 19 anggota lain-lain pangkat unit TTC telah dianugerahkan Pingat Kedaulatan Negara yang menggalas tugas dengan dedikasi dan penuh amanah bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan negara, ” katanya
mengulas mengenai pencapaian unit elit itu.

Sejajar dengan peredaran masa, Yusli berharap TTC dibekalkan dan dilengkapi dengan aset terbaharu serta peralatan persenjataan berteknologi terkini sesuai dengan keperluan kepenjaraan bagi tujuan mempertingkatkan keselamatan di penjara.

Tambahan pula, melihat keadaan sekarang dengan jumlah banduan sebanyak 79, 981 (setakat 8 Disember 2023) di 42 buah penjara seluruh negara, maka penting bersiap siaga sebagai langkah persediaan awal jika berlaku kejadian luar biasa malah ancaman baharu yang tidak dijangkakan dari dalam atau di luar penjara.

“Selari dengan cogan, ‘Tepat, Tangkas, Cekal’ yang kredibel dan berintegriti tinggi, kami yakin berdepan dengan krisis, apa juga cabaran getir dan dimensi ancaman dengan efektif, kelak setara dengan mana-mana pasukan elit lain.

Tiga elemen ini sentiasa kami hayati, tidak dapat dipisahkan dan menjadi
pegangan serta prinsip kepada setiap anggota TTC supaya sentiasa siap sedia untuk diatur gerak. Pengorbanan dalam tugas dan sikap profesionalisme yang tinggi menjadi keutamaan kami, ”tegas Yusli.

Sementalah itu, seramai 19 anggota TTC telah menamatkan latihan selama 8 minggu di PULPAK bermula 4 September hingga 25 Oktober lalu , berjaya menempuh ujian sukar di situ.

Bagi mengiktiraf , penganugerahan itu dilakukan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, DCGP Dato’ Hj Abdul Aziz Abdul Razak. Hadir sama Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah dan Pengarah Keselamatan dan Inteligen, Komisioner Penjara, CP Hj Ahmad Faudzi Awang.

Sesungguhnya sumbangan dan pengorbanan anggota TTC khasnya dan anggota penjara amnya, amat besar demi keamanan dan kemakmuran negara ini. Mereka memikul tanggungjawab yang cukup penting bagi negara. –SUARA. TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat