Potongan gaji penyumbang terbesar bayaran zakat Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Bayaran zakat menerusi sektor potongan gaji menjadi penyumbang terbesar kutipan zakat di Pahang setakat 30 Nov lepas, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM54.1 juta membabitkan 64,071 pembayar.

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kutipan zakat lain yang tinggi ialah zakat perniagaan sebanyak RM28.3 juta, zakat wang simpanan (RM14.4 juta) dan zakat pendapatan (RM10.9 juta).

Secara keseluruhan, Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang mengutip zakat berjumlah RM112.3 juta membabitkan sebanyak 85,326 pembayar setakat 30 Nov lepas.

“Umat Islam diingatkan untuk segera menunaikan kewajipan membayar zakat sebelum 31 Dis bagi mendapatkan kemudahan rebat cukai pendapatan. Semua kaunter PKZ Pahang juga akan dibuka pada Sabtu dan Ahad untuk dua minggu terakhir tahun ini.

“Selain bayaran secara tunai, pembayar juga boleh membuat bayaran menggunakan kad mesin juruwang automatik (ATM) atau kad debit selain aplikasi dalam talian lain yang disediakan,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Tengku Hassanal juga bertitah bahawa semua PKZ Pahang dipertanggungjawabkan untuk menerima bayaran wakaf tunai mulai bulan ini dengan jumlah wakaf serendah RM5 selain boleh dibuat secara dalam talian di portal ewakaf.muip.gov.my.

Pada hari ini, Tengku Hassanal yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada tujuh institusi dan syarikat korporat berjumlah RM6.78 juta di Istana Abdulaziz di sini.

FGV Holdings Berhad adalah pembayar zakat tertinggi untuk hari ini dengan jumlah RM3.89 juta diikuti FELCRA Berhad Wilayah Pahang (RM841,082) dan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (RM811,625.68).

Turut menunaikan kewajipan berkenaan ialah Far East Holdings Berhad (RM765,341.92), Radicare Groups of Companies (RM181,546), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (RM168,230.73) dan Agrobank (RM125,212).

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat