Pelaksanaan PKPB, wabak COVID-19 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hal-hal berkaitan wabak COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri bermula semalam menjadi perkara bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang dipaparkan dalam laman rasmi Parlimen, kedua-dua perkara berkenaan terkandung dalam tiga soalan utama pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) yang bermula pada 10 pagi ini.

Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta Perdana Menteri menyatakan rasional pelaksanaan PKPB di tujuh negeri, manakala Dr Kelvin Yii Wuen (PH-Bandar Kuching) pula bertanyakan kepada Menteri Pendidikan rasional penutupan sekolah di seluruh negara termasuk kawasan hijau COVID-19 serta penangguhan peperiksaan awam dan rancangan membantu pelajar yang tiada kemudahan Internet.

Soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada Menteri Kesihatan pula berkisar bilangan kluster yang menyebarkan pandemik COVID-19 dan bilangan kluster yang masih aktif terkini dan setakat manakah kluster-kluster ini memberi kesan kepada penyebaran COVID-19 di dalam negara.

Bagaimanapun seperti ditetapkan sebelum ini, sesi  MQT kali ini hanya memerlukan Ahli-ahli Parlimen membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama, dengan soalan dan jawapan itu akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin.

Usai sesi itu, tumpuan akan beralih kepada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang antara lain tertumpu kepada soalan daripada Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan perancangan kerajaan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membantu rakyat yang kehilangan sumber pendapatan akibat COVID-19.

Perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudiannya akan mengambil tempat untuk hari kedua selepas membuka tirainya semalam.

Sidang Dewan bermula minggu ini berlangsung hanya empat jam iaitu pada 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan hanya 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas – dibenar berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak COVID-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Dis.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat