‘Kita Jaga Kita’ buka tirai ABPBH 33

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengarah teater, Khir Rahman berjanji menghasilkan pementasan muzikal yang tidak mengguris perasaan menerusi persembahan pembukaan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 ketika masyarakat masih berjuang menentang pandemik COVID-19.

Khir berkata, tema bagi persembahan muzikal berkenaan berkonsepkan ‘Kita Jaga Kita’. Awalnya, dia agak keberatan mengalas tanggungjawab berkenaan kerana tidak mahu bersenang hati pada saat rakyat sedang menderita.

Namun, selepas mengetahui tema penganjur yang mempunyai kaitan dengan situasi semasa yang berlaku seluruh dunia, dia akhirnya bersedia memikul tanggungjawab berkenaan.

Katanya, tanggungjawab yang bakal digalas cukup besar, selain memberi cabaran dan tekanan apabila terpaksa mengarahkan pementasan tanpa kehadiran penonton.

“Sebagai salah seorang pengarah luar, saya menganggap ini bukan masanya untuk menghasilkan program keraian. Saya pun pada mulanya serba salah kerana satu kesalahan apabila bersenang hati ketika rakyat sedang menderita.

“Bagaimanapun, baru saya faham selepas mendengar penjelasan BH dan TV3, temanya menyentuh isu semasa.

“Saya akur apabila penganjur mempunyai alasan kuat menganjurkan anugerah berprestij kerana ada perkara yang ingin disampaikan, selain menjadi rutin menganjurkan ABPBH setiap tahun.

“Bagi saya, sekiranya ABPBH 33 tidak meriah seperti tahun sebelum ini pun tidak mengapa kerana faham dengan situasi semasa,” katanya yang menghasilkan sendiri skrip untuk pementasan, selain turut berlakon di sisi beberapa pelakon lain.

 

Syamsul Yusof membawa watak Ustaz Adam menerusi pementasan teater muzikal.
Syamsul Yusof membawa watak Ustaz Adam menerusi pementasan teater muzikal.

Antara pelakon yang akan terbabit dalam pementasan muzikal itu termasuklah Liza Abdullah, Nora Danish, Kaka Azraff, Syamsul Yusof, Man dan Joey.

Khir berkata, mereka hanya akan memulakan latihan esok, berikutan kebanyakan pelakon mempunyai komitmen lain.

“Watak yang dipersembahkan mewakili golongan tertentu ketika negara diuji dengan pandemik COVID-19. Saya tak berhasrat menghukum golongan yang diketengahkan, sebaliknya niat hanya untuk bercerita.

“Saya bersama Kaka akan membawa watak pasangan kayangan, manakala Man pula sebagai golongan marhaen. Sementara Joey dan Nora memegang watak petugas barisan hadapan. Syamsul pula akan membawakan watak Ustaz Adam.

“Persembahan pembukaan ini dijangka berlangsung selama tujuh minit dan akan diselang selikan dengan nyanyian. Ia tidaklah terlalu serius, tetapi ada sedikit sinikal sekadar untuk memberitahu apa yang kita hadapi sekarang,” katanya.

Khir berkata, persembahan selama tujuh minit itu jika diikutkan tidak mencukupi memandangkan ia turut menggabungkan nyanyian.

Justeru, katanya dia perlu bijak memainkan peranan memandangkan secara purata setiap pelakon hanya mempunyai purata lima saat sahaja untuk menuturkan dialog.

 

Pengarah teater, Khir Rahman menggalas tanggungjawab mempersembahkan teater muzikal menerusi persembahan pembukaan ABPBH 33.
Pengarah teater, Khir Rahman menggalas tanggungjawab mempersembahkan teater muzikal menerusi persembahan pembukaan ABPBH 33.

 

Bagaimanapun, katanya, perkara yang paling mencabar adalah memastikan persembahan hidup dalam keadaan tiada penonton dalam dewan.

“Itu yang paling dibimbangkan. Sebelum ini, bukan saya tidak pernah mengarah, tetapi debaran lain macam berikutan ketiadaan penonton. Jadi, ia tidak boleh dihasilkan seperti pentas yang ada penonton.

“Oleh itu, saya perlu banyak bermain dengan kamera dan teknik pencahayaan supaya persembahan nampak hidup pada mata penonton di rumah.

“Selain itu, saya memaparkan video menarik mengenai kejadian yang berlaku sepanjang pandemik. Saya percaya dengan paparan video dan keratan akhbar pasti menyentuh perasaan,” katanya.

Khir berkata, apa yang ingin dipaparkan juga mengenai kesedaran masyarakat dalam menghadapi fasa sukar ini.

“Kita semua kali pertama melaluinya, jadi tidak ada pihak yang harus dipersalahkan seperti kerajaan dan sebagainya. Kerana seperti kita, mereka juga kali kali menguruskan segala perkara dalam satu masa.

“Jadi, kita tidak harus menuding kesalahan kepada pihak tertentu. Itulah apa yang ingin sampaikan dalam persembahan ini nanti,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat