KUALA LUMPUR – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail tidak akan berganjak dengan keputusan untuk menukar cuti hujung minggu di negeri itu pada Sabtu dan Ahad bermula tahun depan.
Hal ini tetap diteruskan meskipun ada pihak yang kurang senang dengan perubahan berkenaan.
Tunku Ismail bahkan mengemukakan saran agar pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati dengan pertukaran hari cuti berkenaan untuk pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu.
“Ada beberapa negeri masih kekal bercuti hari Jumaat dan Sabtu (Kelantan, Terengganu dan Kedah).
“Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.
“Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya,” tegas Tunku Ismail dalam kenyataan malam ini.
Baginda juga turut memperincikan hujah dan usul pertukaran hari cuti yang disarankan itu yang akan bermula Januari 2025.
“Dengan izin dan restu Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad.
“Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu,” syor Tunku Ismail.