KUALA LUMPUR – Khabar angin mendakwa bekas Pembantu Penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther telah ditahan polis sejak Jumaat lalu.
Pun begitu, tiada maklumat lanjut diperoleh setakat ini berkaitan motif penahanan tersebut.
Setakat berita ini ditulis belum ada pengesahan rasmi daripada pihak peguam Yusoff Rawther mahupun pihak polis.
Bagaimanapun, pada 6 Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan tujuh hari bermula 16 Jun tahun depan untuk perbicaraan penuh berhubung saman Yusoff Rawther yang mendakwa dirinya diserang secara seksual oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard dalam catatan di Facebooknya pada Selasa memberi bayangan seorang lelaki ditahan polis tanpa menamakan sesiapa.
“Gempar! Terjaga dari mimpi tidur petang. Kejadian di negara bukan Malaysia, baru sahaja mendapat maklumat dalaman pihak keselamatan sebuah negara.
“Seorang lelaki yang pernah menjadi mangsa cubaan liwat pemimpin utama sebuah negara kini dalam tahanan polis,” dakwanya.
Dakwa Che’gu Bard lagi, menurut maklumat dalaman Jumaat lepas, lelaki itu tiba-tiba ditahan dan dia sendiri terkejut bila polis dikatakan menemui dua pucuk pistol, peluru dan dadah.
“Rekod lelaki itu senjata pun dia tengok di media saja dan ujian air kencing juga negatif.
“Agak pelik dia ditahan sejak Jumaat dan polis diam dan tak keluarkan sebarang kenyataan dalam kes sebegini serius yang kini sudah masuk 5 hari,” dakwanya lagi.