Jamal Gagal Serah Tuala, Memorandum Isu Bekalan Air Kepada MB Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos hari ini gagal menyerahkan memorandum mengandungi 12 cadangan menangani masalah air beserta tuala, gayung dan berus gigi kepada Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Amiruddin Shari.

Beliau yang dalam usaha mengadakan perhimpunan secara aman di depan pintu masuk utama ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) tidak dapat berbuat demikian kerana laluan masuk ke pusat pentadbiran kerajaan negeri itu dikawal ketat anggota polis.

Katanya, oleh kerana pasukan keselamatan mengadakan kawalan, dan tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan, beliau terpaksa datang seorang diri untuk menyerahkan memorandum dan peralatan mandi kepada wakil Menteri Besar, termasuk mengadakan sidang media.

Bagaimanapun, ujarnya, tidak ada seorang pun wakil, sama ada dari Pejabat MB atau Bahagian Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) datang untuk mengambil memorandum itu.

“Mungkin mereka tahu saya ini orang UMNO, maka mereka tidak perlu layan.

“Tak mengapa, suatu hari nanti saya akan masuk ke pejabat SUK, iaitu selepas berlaku pertukaran kerajaan dari Pakatan Harapan (PH) kepada Barisan Nasional (BN),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain, memorandum, Jamal turut membawa dua helai tuala, satu gayung dan satu berus gigi yang digunakannya pada perhimpunan bantahan gangguan bekalan air pada 21 Disember 2016, untuk dihadiahkan kepada Datuk Seri Amirudin Shari.

Lebih 50 anggota polis termasuk pasukan pengawal keselamatan kerajaan negeri mengawal laluan dan pintu masuk utama ke SUK.

Semua kenderaan dan orang ramai yang hendak berurusan di pejabat SUK juga tidak dibenarkan masuk, malah mereka diarah berpatah balik.

Ini termasuk satu keluarga yang hendak menghantar anaknya temuduga, Pos Laju, kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah dan orang awam.

MalaysiaGazette difahamkan, larangan itu sebagai langkah menjaga keselamatan dan mengelak daripada dimasuki penyokong Jamal.

Bagaimanapun, sehingga jam 11 pagi, tidak ada seorang pun penyokong Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu datang, sekali gus perhimpunan rakyat bertuala yang akan diadakan secara aman di hadapan pintu masuk Bangunan SSAAS, dibatalkan. – MalaysiaGazette

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat