KUALA LUMPUR – Bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan beberapa pendekatan antaranya menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementerian sentiasa memberi perhatian terhadap pengisian guru sekolah di seluruh negara, termasuk di luar bandar.
“Berdasarkan data, sehingga 31 Julai 2022 jumlah kekurangan guru di luar bandar adalah seramai 4,732 orang atau 4.1 peratus daripada jumlah keseluruhan guru.
“Beberapa pendekatan seperti menubuhkan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru di mana jawatankuasa ini berperanan mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program dan enrolmen yang memberi implikasi kepada keperluan guru, seterusnya memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Jelasnya, antara faktor yang menyumbang kepada kekurangan guru di sekolah termasuk sekolah di luar bandar adalah kekurangan bekalan guru.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara Datuk Jefridin Atan mengenai apakah kekangan yang menjadi punca kepada kekurangan guru di sekolah luar bandar dan apakah inisiatif proaktif kerajaan dalam menangani masalah ini.
Selain itu Radzi berkata pihaknya turut melaksanakan urusan pengambilan guru secara one-off pada tahun 2021.
“Sehingga 31 Julai 2022, seramai 16,381 orang guru telah ditempatkan di sekolah KPM.
“Daripada jumlah itu, seramai 5,944 orang guru telah ditempatkan di sekolah luar bandar,” katanya.
Tambahnya, kementerian melaksanakan urusan penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 Tahun 2022 selepas menerima calon PPP yang telah dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang dianggarkan berjumlah 15,761 guru.
“KPM melaksanakan pertukaran guru sebanyak empat kali setahun bagi memudahkan pergerakan guru untuk mengisi kekurangan guru di luar bandar
“KPM juga menggunakan kluster mata pelajaran bagi meningkatkan proses penempatan dan pertukaran guru,” katanya.