Oleh Zihan Zari
SUNGAI PETANI – Pesara kerajaan yang telah mencurahkan khidmat dalam pelbagai bidang sepanjang tempoh perkhidmatan mereka terus disantuni menerusi Program Santuni Pesara anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berlangsung di Taman Nilam, dan Kampung Pengkalan Lebai Man, dekat sini pada Khamis.
Terdahulu, Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, telah menziarahi ke kediaman empat orang pesara kerajaan yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Pesara yang terlibat, Abdul Aziz Ali,63, bekas Pemandu Kenderaan, Jabatan Kerja Raya Daerah Kuala Muda; Sudin Abdul Wahab,69, bekas Pegawai Waran Dua, Batalion Ke 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD); Wan Mohd Isa W Ismail Umur,65, bekas Juruteknik, Jabatan Telekom Malaysia Pulau Pinang; dan Nasir Saad,78, bekas Pekerja Rendah Awam, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Mohd Zabri berkata jasa dan pengorbanan pesara merupakan sebahagian daripada asas yang membentuk perkhidmatan awam negara hari ini dan sewajarnya terus dikenang serta dihargai.
“Setiap pesara telah mencurahkan bakti dan pengorbanan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Walaupun telah menamatkan perkhidmatan, sumbangan mereka kepada negara akan sentiasa dihargai.
“Program seperti ini bukan sahaja menzahirkan penghargaan, malah membolehkan kita mendengar sendiri keadaan dan keperluan mereka supaya kebajikan serta kesejahteraan pesara terus dipelihara, ”katanya.
Ujarnya, program Santuni Pesara bertujuan menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka, di samping memastikan kebajikan serta kesejahteraan pesara terus diberi perhatian.
“Bagi pelaksanaan kali ini, keutamaan diberikan kepada pesara yang berdaftar di bawah pangkalan data e-Kasih.
“Melalui kerjasama strategik bersama pelbagai agensi, keperluan pesara dapat dikenal pasti dengan lebih tepat bagi membolehkan bantuan dan intervensi diselaras secara lebih bersasar mengikut keadaan serta keperluan semasa mereka, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, JPA akan terus memperkukuh inisiatif yang menyokong kesejahteraan komuniti pesara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah menyumbang bakti kepada negara serta memainkan peranan penting dalam membentuk perkhidmatan awam yang dinikmati pada hari ini.
Dalam perkembangan sama, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri Kedah serta INTAN Kampus Wilayah Utara (INTURA).
Kerjasama ini mencerminkan pendekatan Whole of-Government atau keseluruhan kerajaan dalam memastikan kebajikan pesara terus diperkasa melalui penyelarasan bantuan dan sokongan secara lebih menyeluruh, bersepadu dan berkesan.-SUARA.TV



