Oleh: Zihan Zari
TERENGGANU – Tanpa memikir panjang, tiga pelajar politeknik nekad menyelamatkan dua kanak-kanak yang hampir lemas ketika mandi di Pulau Perhentian pada Sabtu.
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, pelajar tersebut, Ahmad Danial Safwan Ahmad Safri dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Naufal Zahari dari Politeknik Sandakan Sabah (PSS) dan Mohamad Haikal Danis Mohamad Nasir dari Politeknik Seberang Perai (PSP).
Beliau berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga pelajar berkenaan sedang melakukan aktiviti dalam kumpulan berhampiran tempat kejadian.
“Kami ternampak ada dua kanak-kanak hampir lemas ketika mereka mandi di pantai, tanpa berlengah kami terus ke arah mangsa. Tempatnya agak dalam dan tak tercapai oleh kaki,” kata Ahmad Danial.
Naufal berkata, kedua-dua mangsa yang berumur dalam lingkungan 9 tahun itu masih bernafas ketika diselamatkan namun salah seorang mangsa muntah teruk dan tubuh mereka agak lemah.
Sementara itu, seorang lagi pelajar iaitu Muhammad Haikal memanjatkan kesyukuran kerana berjaya menyelamatkan kanak-kanak tersebut.
“Alhamdulillah, berbekalkan pengetahuan asas penyelamat ketika belajar di politeknik, kami yakinkan diri untuk menyelamat kanak-kanak berkenaan,” katanya. – SUARA.TV