Pelihara terumbu karang demi ekosistem & kelestarian sumber perikanan – KP DOF

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Lautan Sedunia 2024 orang ramai digesa untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha pemuliharaan lautan dengan mengurangkan sisa plastik, menyokong amalan penangkapan ikan yang mampan dan pemuliharaan marin.

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) selaku peneraju pengurusan sumber marin akan terus memberi komitmen dalam memastikan perairan laut negara sentiasa dipelihara dan hidupan marin sentiasa dilindungi demi kelestarian sumber perikanan.

DOF telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memelihara perairan lautan negara, antaranya pemantauan berterusan terhadap terumbu karang serta kualiti air Taman Laut dan restorasi karang.

Ketua Pengarahnya, Dato’ Adnan Hussain berkata demikian dalam kenyataannya pada Jumaat.

Beliau berkata, DOF telah melaksanakan pemantauan terumbu karang secara berkala bertepatan dengan tema sambutannya, ‘Tindakan Pemangkin untuk Lautan dan Iklim Kita’

“Pemantauan yang dijalankan bersama badan bukan kerajaan (NGO), penyelidik tempatan serta sukarelawan adalah untuk menilai kesihatan dan kepelbagaian spesies terumbu karang.

“Ianya penting untuk mengenal pasti ancaman yang dihadapi oleh terumbu karang, seperti perubahan iklim, penangkapan ikan yang tidak mampan serta pencemaran berasaskan daratan,” katanya.

Menurutnya lagi, status peratusan Litupan Karang Hidup (LKH), Live Coral Cover (LCC) serta Hard Coral dan Soft Coral di perairan Taman Laut dan Kawasan Larangan Perikanan Malaysia (FPA) tahun lalu meningkat 54.23% berbanding 2022 iaitu 50.96%.

“Beberapa transek kekal yang tertentu mempamerkan penurunan dalam LKH disebabkan faktor ancaman tapak sulaiman, mahkota berduri atau Crown of Thorns (COTs) dan pengaruh antropogenik yang memberi kesan kepada kesihatan terumbu.

“Purata LKH Nasional pada 2023 berada pada 45.87%, pada tahap sederhana, merangkumi kawasan terumbu yang dilindungi dan tidak dilindungi, manakala
peratusan LKH di kawasan Taman Laut dan FPA, lebih tinggi berbanding peratusan LKH Nasional.

“Perbandingan ini jelas menunjukkan keberkesanan pengurusan habitat terumbu karang di kawasan perlindungan marin (MPA) yang ditadbir urus oleh DOF,” katanya lagi.

Ujarnya, pemantauan tahunan kualiti air di Taman Laut juga dijalankan bagi memantau tahap kualiti air yang mempengaruhi faktor kesihatan habitat terumbu karang.

DOF menempatkan lima stesen tetap pemantauan kualiti air di Taman Laut yang mencerap data pada sela masa lima minit.

Data pemantauan ini akan membantu DOF dalam menilai langkah dan tindakan proaktif terhadap kesan perubahan iklim ke atas ekosistem lautan negara.

“DOF juga terlibat dalam usaha pemuliharaan terumbu karang di kawasan terumbu yang terosot dan terdegradasi.

“Pemuliharaan sumber marin melalui pendekatan restorasi adalah salah satu kaedah untuk memulihkan habitat terumbu karang yang diancam kemerosotan.

“Kawasan seluas 1,045.63m2 di hadapan Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu telah berjaya dipulihara atau di restorasi daripada kesan kemusnahan akibat Ribut Tropika Pabuk yang melanda pada 2019,” ujarnya.

Tambahnya, Taman Laut Pulau Payar, Kedah seluas 813m2 berjaya dipulihara dan usaha ini diteruskan di beberapa lokasi lain di sekitar kawasan Taman Laut di Pulau Perhentian dan Pulau Redang, Terengganu.

Taman Laut Pulau Tioman, Sibu-Tinggi, Redang dan Perhentian telah dikenal pasti sebagai kawasan terumbu karang yang berdaya tahan ‘resilience’ daripada sebarang ancaman perubahan iklim.

Kawasan ini akan diberikan perlindungan sepenuhnya agar tidak mengalami kelunturan karang di masa hadapan dan penekanan lebih melalui pengezonan khas untuk memulihara habitat unik yang berada di kawasan tersebut.

“Kelestarian ekosistem terumbu karang perlu dipelihara bagi mengelakkan khazanah marin tersebut musnah akibat aktiviti manusia.

“Setiap individu boleh menyumbang kepada kelestarian lautan demi kesejahteraan generasi semasa dan akan datang,” tambahnya. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat