Bursa Malaysia ditutup rendah, pelabur tumpu saham murah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Indeks barometer Bursa Malaysia ditutup rendah memandangkan pelabur mengalihkan tumpuan terhadap saham berharga rendah.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 3.49 mata kepada 1,614.37 berbanding 1,617.86 semasa ditutup pada Jumaat, diimbangi oleh penyusutan dalam Press Metal dan YTL Corporation.

Indeks barometer dibuka tinggi 1.38 mata kepada 1,619.24, menunjukkan paras tertinggi harian dan mencecah paras terendah 1,613.01 pada sesi selepas tengah hari.

Sentimen pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 628 berbanding 531, dengan 470 kaunter tidak berubah, 769 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.96 bilion unit bernilai RM3.30 bilion daripada 5.73 bilion unit bernilai RM4.05 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata aktiviti perdagangan di Malaysia dan rantau ini suram apabila pasaran China, Hong Kong dan Taiwan tidak beroperasi kerana cuti.

“Sentimen keseluruhan bercampur-campur memandangkan peniaga kurang berharap terhadap pengurangan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS tahun ini disebabkan pasaran buruh negara yang terhad,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat lalu, data penyata gaji bukan ladang (NFP) AS menyatakan sebanyak 272,000 pekerjaan baharu diwujudkan pada Mei, melepasi unjuran konsensus 182,000 manakala pertumbuhan gaji tahunan kembali meningkat, menimbulkan ketidakpastian mengenai potensi pengurangan kadar faedah minggu ini.

Segala perhatian terarah kepada angka inflasi AS bagi Mei, yang akan dikeluarkan pada hari yang sama berakhirnya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 12 Jun.

Selain itu, beliau berkata, fokus pasaran turut tertumpu kepada kebimbangan politik zon Euro yang lebih meningkat berikutan pilihan raya secara mengejut di Perancis.

Berikutan ketidakpastian global yang semakin meningkat, beliau berkata, FBM KLCI mungkin diniagakan dalam jajaran 1,610 hingga 1,630 untuk minggu ini.

Kaunter wajaran tinggi Press Metal menyusut 14 sen kepada RM5.75, berkemungkinan disebabkan pengambilan untung susulan kenaikan minggu lalu.

YTL Corp menyusut lima sen kepada RM3.60, Petronas Dagangan turun 48 sen kepada RM18.10, KLK berkurangan 30 sen kepada RM20.86, dan IOI rendah empat sen kepada RM3.86.

Bagi saham aktif, Hubline meningkat tiga sen kepada 7.0 sen, JAKS Resources naik dua sen kepada 17.5 sen manakala Talam, Metronic dan Industronics masing-masing tidak berubah pada 1.5 sen, 2.0 sen dan 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 0.86 mata kepada 12,356.01 dan Indeks FBMT 100 menyusut 11.48 mata kepada 11,928.98.

Sementara itu, Indeks FBM Emas Syariah naik 8.78 mata kepada 12,662.31, Indeks FBM 70 meningkat 40.69 mata kepada 17,835.57 dan Indeks ACE FBM menambah 91.77 mata kepada 5,669.09.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.88 mata kepada 17,646.15 dan Indeks Tenaga meraih 13.88 mata kepada 983.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.37 mata kepada 198.02 manakala Indeks Perladangan turun 43.05 mata kepada 7,102.28.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.96 bilion unit bernilai RM2.82 bilion daripada 3.55 bilion unit bernilai RM3.47 bilion pada Jumaat.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 399.07 juta unit bernilai RM46.45 juta daripada 891.70 juta unit bernilai RM124.67 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik 1.60 bilion saham bernilai RM430.22 juta daripada 1.29 bilion saham bernilai RM452.67 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 534.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (737.89 juta), pembinaan (594.11 juta), teknologi (479.25 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (78.68 juta), hartanah (657.70 juta), perladangan (15.23 juta), REIT (18.71 juta), dana tertutup (11,000), tenaga (246.12 juta), penjagaan kesihatan (54.37 juta), telekomunikasi dan media (49.66 juta), pengangkutan dan logistik (349.37 juta), utiliti (141.25 juta), dan amanah perniagaan (2.59 juta). – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat