Jangan mimpi nak naik pangkat jika ketua jabatan ‘tutup mata’ anak buah amal rasuah – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku dan amalan rasuah penjawat awam di bawahnya sehingga tidak dilaporkan.

Anwar berkata, agak mustahil bagi ketua jabatan atau ketua unit ‘tidak tahu’ atau menutup mata mengenai wujudnya kecurangan dalam pentadbiran masing-masing.

“Kalau nampak terang salah laku, kenapa ketua jabatan tidak lapor, kenapa ketua unit tidak tahu, saya kadang-kadang fikir kerana amalan ini sudah berlaku bertahun-tahun, mustahil tidak tahu.

“Maka saya akan syorkan kepada KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali) mesyuarat dalam masa terdekat ini, dalam keputusan kita mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan atau ketua unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat, sekiranya diketahui di bawahnya itu sistemnya bobrok dan tidak dilaporkan,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kaedah hukuman itu bagaimanapun akan ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Mengapa dalam jabatan umpamanya, ada ketua jabatan, KSU (Ketua Setiausaha), Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Pengarah, tak mungkin dari atas sampai ke bawah tak tahu.

“Maka saya akan syorkan kepada KSN, mesyuarat dalam terdekat ini, dalam keputusan kita mengenai penyelarasan gaji, kita tetapkan seorang ketua jabatan atau unit tidak akan diberikan kenaikan pangkat, sekiranya diketahui di bawahnya itu (ada kecurangan) dan tidak dilaporkan, tidak diizinkan terus,” katanya lapor BH.

Anwar menegaskan, beliau mahu satu ketetapan dibuat pada minggu depan dengan semua ketua jabatan atau unit melaporkan sebarang kecurangan atau salah laku berkenaan.

Walaupun sudah ada perubahan, Perdana Menteri berkata, beliau tidak jemu mengulangi mengenai isu rasuah atau kecurangan kerana ia masih berlaku di sesetengah peringkat.

“Dalam penjawat awam, kerangkanya mesti jalankan tugas dengan baik, hentikan kecurangan, amanah saya tidak jemu mengulang, walaupun ada perubahannya, kerana mana mungkin orang beribadah, bicara mengenai Islam, tetapi masih mempertahankan amalan kecurian.

“Saya selalu bandingkan, kalau anak cucu kita curi pensel kawan kita marah tetapi kalau curi berjuta, kita biarkan…saya tekankan ini kerana masih berlaku di setengah peringkat,” katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab menangani salah laku dan kecurangan bukan lagi terletak di bahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, sebaliknya kepada ketua jabatan dan unit.

“Saya fikir badan penguat kuasa hampir maksimum usaha mereka, saya maklumkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya akan tingkatkan peruntukan tambahan, pegawai dan peguam negara dimaklumkan ambil tindakan tidak peduli siapa sebaik ada bukti supaya dalam tempoh terdekat kita dapat kawal dengan berkesan,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri mengingatkan semua penjawat awam supaya menggalas tanggungjawab untuk menentang kecurangan dan salah laku.

“Jadi, saya harap saudara faham, kalau tidak saudara boleh pilih tidak mahu jadi ketua jabatan kerana tanggungjawabnya lebih, maklumkan kepada KPPA, kata saya hanya mahu bekerja sebagai pegawai biasa, tidak mahu jadi ketua unit atau jabatan.

“Kamu makilah berbakul-bakul pun, kerja mesti dijalankan, jadi saya nak gesa kerana amaran sudah lama diberikan, maka tanggungjawab itu sudah turun dari atas sampai ke peringkat bawah,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat